Hadi, Mahiaddin, Hamzah berani menyalak di luar, tapi lari semasa PMQT

Rakyat sudah boleh menilai sikap pembangkang selepas 31 hari persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang melabuhkan tirainya semalam.

Persidangan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyaksikan nihilnya iltizam politik Perikatan Nasional (PN) untuk berperanan sebagai semak dan imbang yang berkesan.

Sepanjang sebulan bersidang, blok pembangkang dikepalai Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak sudah-sudah menyalak mahukan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Padahal, umum tahu bahawa simpanan jutaan pencarum sudah teruk merosot selepas siri pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Kelmarin, sehari sebelum sidang Parlimen berakhir, pembangkang buat kecoh dan bertindak keluar dari Dewan selepas desakan untuk membahaskan isu KWSP tidak dilayan Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong.

Sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sudah pun memuktamadkan bahawa usul KWSP tidak dibenar dibahas.

Penegasan kerajaan jelas. Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memberi penerangan terperinci berhubung keputusan kerajaan tetapi pembangkang enggan untuk memahami.

menyalak
Kredit gambar: Facebook Azizul Abd Hamid

Buat pertama kali pada sidang kali ini juga, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri.

Namun, Hamzah selaku ketua pembangkang sendiri ponteng tujuh kali berturut-turut ketika sesi PMQT (sejak 14 Februari) yang sepatutnya dimanfaatkan untuk bertanya hal berkaitan rakyat.

Apatah lagi, PN nampaknya beria-ia membangkitkan isu KWSP kononnya demi rakyat, namun tidak pula mengambil peluang bertentang mata dengan Perdana Menteri di dalam Dewan.

Apa yang rakyat boleh nilai daripada desakan yang dibuat-buat oleh pembangkang ini, kalau bukan hanya untuk mengejar populariti murahan?

Selain Hamzah, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang juga antara pemimpin utama pembangkang yang tidak hadir selama tujuh kali berturut-turut.

Namun, ketidakhadiran ‘tiga sekawan’ itu di Parlimen dilihat tidak mematahkan nafsu pembangkang untuk terus meracuni rakyat menggali duit KWSP lagi dan lagi.

Hakikatnya, sudah empat kali pengeluaran KWSP dibenarkan ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan seramai 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.

Sepanjang berlangsungnya persidangan juga terdapat beberapa ahli Parlimen yang diarah keluar Dewan gara-gara tingkah yang sukar dikawal.

Mereka antaranya digantung atas sebab melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan sangkaan jahat terhadap orang lain.

Antaranya, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Mesyuarat pertama era kerajaan Madani kali ini juga menyaksikan sebanyak 12 rang undang-undang (RUU)diluluskan.

Antaranya, yang menjadi tumpuan adalah RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.

Dewan Rakyat kini menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. Bagaimanapun, mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun depan.

Baca juga: PN cuba bermain emosi rakyat, gunakan isu pengeluaran KWSP

Â