
Hadi pertikai Lembaga Pengampunan dikritik
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang diserang hebat apabila mempertikaikan hak Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk negeri-negeri memberikan pengampunan kepada pesalah di negara ini.
Ini kerana, secara tiba-tiba sahaja isu ini berbangkit menjelang pilihan raya kecil (PRK) di Johor dan Pahang.
Kes berprofil tinggi yang sedang dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan adalah Datuk Seri Najib Razak. Pengerusi Lembaga Pengampunan di Wilayah Persekutuan adalah Yang Dipertuan Agong manakala di negeri dipengerusikan oleh sultan, raja atau ketua bagi setiap negeri.
Selain dari ahli-ahli politik yang berlawan dengan beliau, para netizen dan aktivis media sosial juga mengkritik Hadi.
“Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba encik Hadi kata ‘Lembaga Pengampunan’ tak ikut ajaran Islam.
“Benda yang sudah berpuluh-puluh tahun elok jer berjalan, benda yang memang jelas termaktub dalam Perlembagaan, tiba-tiba nak dilambung sebagai isu dalam PRK,” kata bekas calon Pakatan Harapan di Padang Besar, Haji Mohamad Yahya.
Bagi beliau, tindakan Hadi berbuat demikian ketika menjelang PRK tidak jujur kerana beliau hanya berdiam diri ketika parti beliau berada dalam kerajaan selama 33 bulan sebelum ini.
Bahkan ketika itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah Menteri Undang-undang.
“Encik Hadi ni lupa kot… Pas pernah jadi kerajaan pusat 33 bulan. Time tu kenapa sepatah haram pun ko tak sebut pasal isu ‘lembaga pengampunan’?.
“Kenapa tak bawa usul, minta kaji balik, dan batalkan. Kenapa tak buat?” tanya Ketua Amanah Padang Besar itu lagi menerusi facebooknya.
Bagi beliau, Hadi cuba menghina kuasa istana apabila mempermainkan isu ini seolah-olah mahu menarik kuasa yang ada kepada Yang Dipertuan Agong dan Sultan negeri-negeri itu.
Dan yang lebih menggusarkan beliau adalah para penyokong Pas masih terus menyokongnya dengan menyifatkan ia sebagai hujjah terbaik.
“Dalam isu yang jelas encik Hadi cuba menghina dan mempersoalkan kuasa-kuasa yang melibatkan pihak Istana dalam hal-hal melibatkan pengampunan, puak-puak walaun masih bertakbir.. masih puji, konon hujah encik Hadi memang terbaik,” katanya.
BACA JUGA Anwar perlu diberikan lebih masa bangunkan ekonomi, titah Sultan Johor