‘Hal makanan tolonglah, jangan main politik’ – Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berharap agar negeri pembangkang tidak mempolitikkan hal berkaitan bekalan makanan sebaliknya bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, keperluan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil penting melangkaui perbezaan kaum dan fahaman politik kepartian.

“Hal makanan tolonglah, jangan main politik sebabnya manusia parti apa pun, dia kena makan.

“Sebab itu, dalam hal makanan ini termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh bukan daripada Kerajaan Perpaduan ini, kita harap berkerjasama sebab soal penyediaan makanan, kita mesti melepasi soal kaum, agama dan fahaman politik,” tegasnya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Wisma Tani, Putrajaya pagi ini.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga menekankan bahawa isu keterjaminan makanan adalah menyentuh soal kemanusiaan.

Dalam masa sama, Mohamad memberitahu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk pemberian subsidi bagi memastikan bekalan telur dan ayam mencukupi di pasaran.

“Isu bekalan ayam yang dialami sebelum ini kembali pulih dan dalam keadaan terkawal,” katanya sambil berkata pentingnya peranan kementerian untuk mengenal pasti langkah mitigasi jangka panjang dan jangka pendek dalam usaha mengatasi kekurangan makanan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebergantungan import makanan yang tinggi perlu diminimumkan dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan dan menstabilkan harga bekalan makanan.

Baca juga Seimbang antara kempen digital dan akar umbi