Hannah Yeoh kecam keras bekas pemain badminton buat ucapan rasis

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengecam keras ucapan berbaur perkauman dan pertikaian agama dikeluarkan seorang bekas pemain badminton lelaki negara yang tular di media sosial.

Beliau berkata pihaknya sudah membuat semakan dengan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)  bahawa individu itu bukan lagi atlet negara.

Katanya dia merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada 2014  dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hannah berkata beliau mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video bekas pemain badminton negara, Guang Yik yang kini menjadi jurulatih di China mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

Perkara ini didedahkan seorang individu bernama Ah Boy Badminton di Twitter yang menterjemah kenyataan bekas pemain badminton itu.

Dakwanya prestasi pemain lemah, tidak ada pemain berjaya ke final  dan tidak menyerlah di bawah BAM  kerana  pengurusan  persatuan itu diterajui oleh orang Melayu.

Dia juga mengaitkan orang Melayu hanya tahu makan selain mengaitkan isu  solat lima kali sehari  yang menjadi punca kelemahan BAM.

Lelaki itu turut mencadangkan agar pihak pengurusan BAM digantikan dengan orang Cina.

BACA JUGA: ‘Terima kasih YB! Kita semua rakyat Malaysia’