Hanya subsidi ayam sahaja ditamatkan, subsidi telur masih diteruskan

Hanya subsidi ayam sahaja ditamatkan, subsidi telur masih diteruskan

Kerajaan bersetuju untuk menamatkan sepenuhnya subsidi dan kawalan harga bagi ayam sahaja bermula 1 November ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan itu pemberian subsidi bagi harga kawalan telur ayam gred A,B, dan C akan dilanjutkan menggunakan mekanisma sedia ada.

Mohamad berkata, rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi kerana ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Penamatan harga kawalan ayam juga diambil bagi menyokong kemampanan industri pengeluar ayam tempatan. Melalui kaedah ini, kerajaan dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

“Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang telah mula stabil. Harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling.

“Dalam hal ini kerajaan akan memastikan harga bagi ayam yang akan diapungkan terus berada dalam pada kadar munasabah,” katanya dalam sidang media khas penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini.

Mohamad Sabu pada sidang media khas di LPP hari ini. FOTO WAN ZAHARI WAN SALLEH

Pada masa sama, Mohamad memberi jaminan kerajaan akan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan pada harga berpatutan di bawah harga siling semasa.

Tambahnya lagi, melalui sesi libat urus bersama pemilik industri pada 22 Oktober lalu, kerajaan telah mendapatkan komitmen dari pihak industri supaya harga ayam di ladang tidak akan mencatatkan kenaikan ketara sehingga membebankan pengguna.

Dalam hal ini katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti mengambil untung secara berlebihan dan memanipulasi harga di peringkat runcit.

Selain itu kerajaan menyatakan kesediaan untuk mendapatkan bekalan tambahan dari luar sekiranya terdapat kekurangan bekalan yang boleh menyebabkan kenaikan harga mendadak.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

“Justeru kerajaan akan terus memberikan penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana.

“Kerajaan juga menyediakan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup. Langkah ini akan memberikan peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.

BACA JUGA Ratu Naga disiasat Bukit Aman hari ini

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )