Harga ayam catat penurunan

Harga ayam catat penurunan

Harga purata ayam standard di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 0.33 peratus sejak 12 Ogos hingga 26 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di hampir 1,500 premis mendapati harga purata ayam standard di Semenanjung pada 12 Ogos 2023 iaitu RM8.73/kg menurun kepada RM8.70/kg pada 26 Ogos 2023.

“Manakala di Sabah dan Sarawak juga menunjukkan penurunan harga purata iaitu masing-masing sebanyak 0.12 peratus (Sabah) iaitu dari RM 11.30/kg kepada RM11.29/kg dan turun sebanyak 0.47 peratus (Sarawak) iaitu dari RM10.28/kg kepada RM10.23/kg bagi tempoh yang sama.

Peniaga yang menjual ayam standard dan ayam super melebihi dari Harga Kawalan yang telah ditetapkan boleh dikenakan di bawah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Harga purata ayam standard di pasaran pada bulan Februari 2023 adalah stabil pada harga kawalan dan trend penurunan mula dilihat mulai Julai sehingga Ogos 2023 dengan harga purata terendah dicatatkan pada 4 ogos 2023 di Semenanjung iaitu RM8.11/kg.

“Ayam bulat standard dan super adalah masih di bawah harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan sejak 12 Oktober 2022 dan masih berkuatkuasa hingga ke hari ini iaitu harga ayam standard RM9.40/kg dan Harga Ayam Super ialah RM10.40/kg di Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Fuziah lagi, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika seseorang peniaga menjual ayam standard dan ayam super melebihi dari Harga Kawalan yang telah ditetapkan.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah AKHAP 2011, individu boleh dikenakan denda (seksyen18) tidak melebihi RM 100,000 atau di penjara selama tempoh tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya. Sekiranya kesalahan dilakukan oleh syarikat pula denda tidak lebih dari RM500,000 dan kesalahan kali kedua atau berikutnya tidak melebihi RM1 juta,” ujarnya lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Sinar Harian semalam bertajuk ‘Kadang-kadang turun, tapi selalunya naik’.

Menurut analisis penyuntingnya, Puperahaizad Darsono, hasil tinjauan akhbar itu di beberapa negeri pada minggu lalu mendapati harga ayam naik melambung.

Walau bagaimanapun, hanya dua negeri disenaraikan dalam laporan itu mengalami kenaikan harga sehingga RM1.50 iaitu di Pulau Pinang di Kelantan.

Lapor akhbar itu lagi memetik dakwaan peniaga ayam di Georgetown dan Kok Lanas, kenaikan harga ayam berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

Realitinya, harga ayam segar masih rendah semasa Kerajaan Perpaduan ini berbeza tahun lalu yang melonjak berbelas ringgit sehingga RM14 sekilogram.

BACA JUGA Harga ayam segar makin murah, zaman PN cecah hingga RM14 sekilo

 

COMMENTS

Wordpress (0)