
Harga ayam segar makin murah, zaman PN cecah hingga RM14 sekilo
Harga ayam segar menunjukkan penurunan sehingga RM8.99 sekilogram berbeza semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Seorang pengguna, Najib Bakar hari ini berkongsikan situasi yang dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat itu.
“Harga ayam turun di Pasaraya Hero. Sebelum ini, RM9.39 sekilo.
“Hari ini jadi RM8.99,” katanya merujuk pada harga bahan makanan tersebut di pasaraya yang mempunyai 30 cawangan di seluruh Semenanjung itu.
Beliau juga berpendapat harga bekalan ayam masih rendah semasa Kerajaan Perpaduan ini tidak seperti tahun lalu yang melonjak berbelas ringgit sekilogram.
“Apapun, kedua-dua harga ini murah dari zaman PN yang cecah RM12 hingga RM14 sekilo,” katanya menerusi hantaran di Facebook Kedai Apa Turun Harga Hari Ini (KETUHAR).
Hal sama dikongsikan oleh seorang pengguna yang juga peniaga makanan, Siti Aishah.
“Ayam ada turun lagi 1 kilo RM8.50,” kata pembekal kepadanya.
Sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 tertekan dengan lonjakan mendadak harga bahan makanan terutama barang basah.
Sekitar awal April 2021 lagi iaitu menjelang Ramadan, penternak dilapor mula menaikkan harga sekaligus menyebabkan peniaga tidak mempunyai pilihan untuk menaikkan harga runcit ayam.
Kenaikan harga ayam berlaku banyak kali dan ‘mencanak’ sehingga RM14 sekilogram didorong antara lain faktor peningkatan kos operasi pengeluar termasuk kenaikan harga dedak.
Selain itu, pengeluar ketika itu dilapor masih bergelut mengisi tenaga kerja asing di ladang-ladang ternakan ayam mereka akibat pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, pemimpin PN dilihat tidak cakna dengan bebanan dihadapi rakyat ekoran kenaikan harga bahan makanan.
Pemimpin Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang tahun lalu merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II menganggap harga ayam ketika itu masih rendah.
Dia malah menyifatkan ayam dijual paling murah di negara ini berbanding negara-negara jiran selain menafikan kenaikan harga ayam di pasaran berpunca daripada dominasi kartel.
Bukan sahaja ayam dan barangan basah lain seperti sayuran naik harga semasa kerajaan PN, minyak masak di pasaran juga naik melambung.
BACA JUGA Minyak ini RM28.90 sahaja, bawah harga kawalan, kata Salahudin