
Harga beras import India akan dibincang
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan perbincangan lanjut untuk menentukan harga beras import dari India, sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.
Perkara tersebut dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau sebentar tadi.
Terdahulu Mohamad berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.

Mohamad Sabu
“Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pada petang ini adalah berkaitan isu benih padi dan juga eksport beras putih bukan Basmati dari India ke Malaysia.
“Selain itu, turut dibincangkan adalah perkara berbangkit berkaitan dengan bekalan ayam dan telur ayam di pasaran serta strategi yang bakal diambil oleh kementerian bagi menjamin bekalan sentiasa ada di pasaran apabila penamatan subsidi ayam oleh kerajaan nanti,” katanya.
Pada 18 Oktober lalu, Kerajaan India telah meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.
“Keputusan oleh Kerajaan India mencerminkan hubungan rapat antara India dan Malaysia serta selaras dengan dasar berterusan India untuk menyokong usaha kerajaan negara-negara sahabat dalam memelihara keterjaminan makanan domestik.
“Keputusan untuk membenarkan peruntukan khas beras putih ke Malaysia telah dimaklumkan oleh Menteri Luar India, Dr S Jaishankar kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melalui panggilan telefon pada hari yang sama,” menurut Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
BACA JUGA Menjawab isu dakwaan beras naik harga: Ini penjelasan pegawai menteri