Harga minyak masak paket bersubsidi tetap kekal – Menteri

Harga minyak masak paket bersubsidi tetap kekal – Menteri

Kerajaan tetap mengekalkan harga minyak masak paket bersubsidi kepada rakyat sebagaimana sedia ada, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga barangan asas itu kerana mengambil kira rakyat masih berdepan kenaikan kos sara hidup.

Sebaliknya beliau menjelaskan, kerajaan merangka penjimatan perbelanjaan negara melalui dasar subsidi bersasar dengan keutamaan tetap diberikan kepada nasib rakyat.

“Sehingga hujung tahun ini, satu badan yang akan mengendalikan pengakalan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) akan melengkapkan semua data (sosio ekonomi bagi setiap isi rumah) untuk memberikan subsidi kepada golongan tertentu.

“Bila ekonomi telah pulih kita akan wujudkan kembali ekosistem yang sempurna. Dengan subsidi bersasar, saya rasa penjimatan dari segi belanjawan negara akan dapat dijimatkan dengan pendekatan lebih bijak di mana keutamaan kerajaan masih lagi peka tentang nasib rakyat yang berdepan kos sara hidup,” katanya dalam sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) adakah kerajaan bercadang mengatasi ketirisan dari sudut dasar dengan mengurangkan jurang antara minyak masak bersubsidi dan harga minyak masak terpakai – dengan menaikkan RM2.50 sekilogram minyak ke RM3.50 sekilogram.

Terdahulu kepada soalan asal Azli berkenaan minyak masak terpakai, Salahuddin berkata kerajaan sangat menggalakkan supaya industri minyak masak terpakai diperkasakan untuk menjadi salah satu sumber pendapatan negara.

Menurutnya, pihak kerajaan sudah melakukan perbincangan di peringkat awal bersama dengan Petronas yang boleh membawa industri biodiesel kepada “economic of scale” sekali gus memberi pendapatan kepada negara khususnya pembeli dan pengguna.

COMMENTS

Wordpress (0)