Hartal Doktor Kontrak sambut baik Dr Radzi dilantik KP Kesihatan baharu

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak sambut baik keputusan kerajaan melantik Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada beliau, kumpulan itu percaya pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam sektor penjagaan kesihatan awam akan menjadi aset berharga kepada Kementerian Kesihatan.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan beliau dalam meningkatkan kebajikan pekerja penjagaan kesihatan di negara ini.

“Sebagai sebuah organisasi yang mewakili kepentingan doktor kontrak, kami berharap Datuk Dr Muhammad Radzi berkongsi semangat kami untuk mewujudkan persekitaran kerja yang adil dan saksama untuk semua pekerja penjagaan kesihatan.

“Kami percaya bahawa ini boleh dicapai melalui usaha kolaboratif antara Kementerian Kesihatan dan organisasi seperti Hartal Doktor Kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu juga komited untuk bekerjasama rapat dengan Dr Muhammad Radzi untuk menangani isu yang dihadapi oleh doktor kontrak dan pekerja penjagaan kesihatan kontrak yang lain.

“Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, kami boleh mengorak langkah besar ke arah meningkatkan kebajikan pekerja penjagaan kesihatan di negara.

“Sekali lagi, tahniah kepada Datuk Dr Muhammad Radzi atas pelantikannya, dan kami mengharapkan hubungan yang membuahkan hasil dan positif dengan beliau dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan mengumumkan pelantikan Dr Muhammad Radzi sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr Muhammad Radzi atas pelantikannya yang berkuat kuasa 21 April.

“Pelantikan beliau berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam perkhidmatan kesihatan negara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di kementerian sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Dr Muhammad Radzi menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara setelah 35 tahun berkhidmat termasuk memimpin pasukan perubatan negara dalam menghadapi gelombang wabak Covid-19 yang membadai negara pada tahun 2020 hingga 2022.

Zaliha berkata pihaknya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Muhammad Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama beliau dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksana secara menyeluruh.

Katanya perkara itu selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia MADANI dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang kompetitif, berkualiti dan mampan.

Dr Muhammad Radzi sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Ketua Penyelaras Perubatan Kedah dan ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

Beliau juga pernah bekerja sebagai ketua Perkhidmatan Gastroenterologi dan Hepatologi dan mempengerusikan pentauliahan bidang kepakaran itu dari tahun 2013 dan 2021.

BACA JUGA: Dr Zaliha tiada ‘tongkat ajaib’ tapi serius mahu selesaikan isu doktor kontrak