Hasrat Shahidan PN tawan P Pinang ‘mimpi di siang hari’ – Faiz

Hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menggoncang Pulau Pinang sepertimana yang dicanangkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semasa ceramah penutup Ekspo SIK Sejahtera di Kedah malam tadi tidak akan menjadi realiti kerana ia hanya mampu menggoncang tetapi tidak akan rebah dan runtuh.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata itulah ibarat yang boleh diumpamakan sekiranya diambil kira sentimen keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Malah katanya, walaupun PN berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, kemenangan tersebut hanyalah sementara kerana gelombang PN diyakini tidak mampu bertahan lama.

“Ketika PRU baru-baru ini pengundi mengundi bagi memilih Kerajaan Persekutuan dan bukannya untuk memilih kerajaan negeri.

“Kita optimis pengundi Pulau Pinang cukup selesa dan berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri setelah pelbagai program membantu rakyat dilaksanakan termasuklah bantuan kepada pelbagai golongan masyarakat seperti warga emas, anak emas, ibu emas, (i-sejahtera), AES dan banyak lagi

“Termasuk juga dokongan kepada institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, maahad tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, kelas KAFA dan sebagainya.

“Selain itu bantuan pembinaan rumah baharu kepada golongan miskin dan layak turut direalisasikan saban tahun. Realiti ini sudah pasti akan dinilai oleh rakyat Pulau Pinang,” kata beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Tambah Faiz lagi, diyakini prestasi kerajaan negeri ketika ini berada pada tahap terbaik dan tidak banyak isu pembangunan atau kebajikan yang boleh digunakan pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, Shahidan dan PN dinasihatkan supaya tidak bermimpi di siang hari untuk menawan Pulau Pinang setelah terbukti Pas dan PN gagal mentadbir dengan baik di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kegagalan ini, kata Faiz, akan menjadi faktor kepada penolakan pengundi terhadap PN dan Pas kali ini. Nasihat beliau, lebih baik Shahidan menumpukan sahaja perhatian dalam usaha membantu PN mentadbir negeri Perlis supaya menjadi negeri sebaik Pulau Pinang.

BACA JUGA Kerjasama PH – BN kian mekar di Kedah