Hassan Karim minta peruntukan adil untuk semua ahli parlimen

Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) memohon agar Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan peruntukan adil kepada semua ahli parlimen baik blok kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau mendakwa bahawa beliau memahami kesulitan ahli pembangkang dalam perkara ini. Hassan menggunakan contoh banjir yang berlaku untuk menjelaskan perkara ini.

“Di Johor ada 25 ahli parlimen. Sekarang sedang banjir di Johor. Bagaimana ahli parlimen pembangkang nak tolong rakyat dia?

“Dua dari mereka pembangkang iaitu Mersing dan Pagoh. Kita di sini ada peruntukan. Bagaimana pula hendak bantu rakyat sekiranya Mersing juga banjir?”

Hassan berkata Anwar wajar mendengar rintihan ahli parlimen pembangkang dan bersikap adil.

“Adalah lebih cantik kalau Tambun dapat dengar rintihan blok pembangkang, blok Pantai Timur yang mahukan hak-hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau menambah usaha reformasi juga perlu dilakukan secara adil.

Ini bukan kali pertama ahli parlimen kerajaan meminta peruntukan adil untuk semua.

Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) mencadangkan agar sebuah akta peruntukan pembangunan kawasan diperkenalkan agar semua ahli parlimen boleh mendapat peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing secara saksama.

BACA JUGA: Akta peruntukan pembangunan kawasan dicadangkan