Hasut pengundi Kedah tolak PH-BN, Sanusi dakwa Kedah Aerotropolis dihalang

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat menghasut rakyat Kedah dengan mendakwa Kerajaan Perpaduan menghalang projek Kedah Aerotropolis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, perkara tersebut menjadi antara sebab Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ditolak habis-habisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kedah Aerotropolis adalah pemangkin kepada peningkatan ekonomi wilayah utara Semenanjung khususnya Kedah!

“Pengundi Kedah, bersedia dak lagi untuk tolak PHBN?” katanya menerusi TikTok yang turut menampilkan video berdurasi hampir empat minit mengenai kecaman beberapa individu terhadap Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, Kedah Aerotropolis turut merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda yang akan dilaksana melalui kaedah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Sanusi Md Nor

Selain KXP, Kedah Aerotropolis juga akan membabitkan projek Logistik Sidam, Hab Pengeluaran dan Aeroangkasa (SLAM) dan Lebuhraya Koridor Utara.

Akhir bulan lalu, Sanusi dilapor mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu bertemu dengannya untuk membincangkan mengenai Kedah Aerotropolis.

Dakwanya, Anwar masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan mengadakan pertemuan antara mereka.

Bagaimanapun, pada 8 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek itu.

Selain Kedah, lima negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun.

Pembubaran di kesemua negeri terbabit bagi memberi laluan kepada PRN secara serentak pada Julai depan.

BACA JUGA ‘Sanusi tidak mampu pimpin Kedah, tiba masa rakyat kalih bagi sama’