Hormati hak Sarawak dan Sabah, isu tertangguh mampu diselesai – Anwar

Hormati hak Sarawak dan Sabah, isu tertangguh mampu diselesai – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin isu-isu tertangguh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 mampu diselesaikan melalui kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak serta Sabah demi kebaikan negara.

Perdana Menteri berkata hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Sarawak dan Sabah mesti dihormati secara adil dan saksama.

“Saya bicara panjang soal peri penting memegang janji dan Perjanjian 1963 antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak serta Sabah.

“Kerjasama persahabatan antara wilayah yang semakin erat saat ini mesti menjadi hujah dan asas yang ampuh dalam memungkinkan hak Sarawak dan juga Sabah dihormati secara adil dan saksama, dan Islam amat menitikberatkan prinsip memegang pada janji.

“Seperti yang kita semua maklum, ia sudah tertangguh lama, dan saya amat yakin ia mampu diselesaikan dengan kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak serta Sabah “once and for all for the sake of this country”,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

MESRA… Anwar memberikan ‘tabik’ kepada Abang Johari sebagai tanda terima kasih selepas menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching pada 19 Januari 2023. Foto – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Terdahulu beliau menghadiri majlis makan malam negeri yang dianjurkan kerajaan Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching sempena lawatan kerja sulung Perdana Menteri bermula semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Perdana Menteri berkata beliau telah menegaskan pegawai Kementerian Kewangan bahawa sekiranya peraturan dituruti secara baik dan lancar, maka tidak ada masalah untuk ditingkatkan jumlah kelulusan projek untuk Sarawak dari RM50 juta pada masa ini kepada satu jumlah yang munasabah.

BACA JUGA: Anwar ke Sarawak, bincang Perjanjian Malaysia 1963

COMMENTS

Wordpress (0)