Hujan lebat monsun Timur Laut berterusan

Kerajaan menjangkakan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara akan berlaku sebanyak dua hingga tiga episod lagi luruan monsun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Hal ini berikutan laporan oleh National Disaster Command Centre (NDCC) NADMA sehingga jam 8 pagi, 25 Januari 2023, episod hujan lebat ketiga bagi MTL telah berlaku sehingga mengakibatkan banjir di tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Sabah.

Beliau berkata, episod luaran monsun ini telah membawa kepada keadaan cuaca buruk antaranya hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

“Sebelum episod luaran ketiga ini, sejak bermulanya MTL pada awal November 2022, sebanyak dua luruan monsun telah berlaku iaitu pada 7 hingga 12 Disember 2022 dan 17 hingga 26 Disember 2022.

“Diramalkan MTL akan berlaku sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun,” menurutnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak bermula MTL pada November 2022 sehingga 25 Januari 2023, seramai 121,594 mangsa daripada 34,357 keluarga telah dipindahkan ke 444 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang melibatkan bencana banjir dan air pasang besar.

Hari ini, Armizan berkesempatan untuk melawat mangsa-mangsa banjir di dua PPS yang terletak di daerah Segamat, Johor iaitu PPS Seberang Batu dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek.

“Setakat ini, daerah Segamat adalah kawasan yang paling teruk terjejas dengan merekodkan sebanyak 1392 mangsa daripada 393 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

“Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan lima daerah iaitu, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Batu Pahat dengan jumlah keseluruhan seramai 3482 mangsa daripada 984 keluarga yang berada di 35 PPS,” katanya.

Sementara itu, pada 24 Januari 2023, jam 7.45 malam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung ‘amaran bahaya’ yang telah dikeluarkan berhubung bacaan aras air semasa di Segamat, Johor iaitu di tiga stesen yang melibatkan Sungai Gemas, Sungai Lenik dan Sungai Segamat.

Pada masa yang sama, Armizan turut memberi peringatan kepada semua rakyat Malaysia supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Mereka yang terkesan dengan banjir dinasihatkan untuk menjaga keselamatan dan tidak tertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya menerima arahan daripada pihak berwajib bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

“NADMA juga telah diarahkan supaya memastikan kesemua Pusat Kawalan Operasi (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku,” ujarnya.

Tambahnya lagi, NDCC sentiasa beroperasi 24 jam sehari untuk memantau dan membuat penyelarasan bersama semua agensi dan pihak yang terlibat dengan pengurusan bencana.