Husam dilantik Pengerusi baharu SPNB

Bekas anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dikatakan dilantik sebagai Pengerusi baharu Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Hal tersebut dimaklumkan oleh penganalisis politik Sayuti Omar susulan kunjungan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu ke rumahnya petang tadi.

Beliau berkata, Husam sendiri memberitahunya mengenai pelantikan bagi jawatan di syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) itu.

Anwar Ibrahim pernah menyifatkan rekod Husam sewaktu mentadbir kerajaan negeri Kelantan di bawah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata cemerlang.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Sayuti menyifatkannya sebagai tepat dan yakin Husam mampu memikul tanggungjawab dengan baik berbekalkan pengalaman dan komitmen berkerja dimiliki bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu.

“Pelantikan itu tepat dan satu tanggungjawab besar. Soal perumahan menjadi perhatian umum dan agenda utama kerajaan Perpaduan bagi menjamin kediaman selesa untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, semakan Harapan Daily di laman sesawang rasmi SPNB mendapati ruang bagi jawatan Pengerusi dalam paparan Lembaga Pengarah hanya tertera pemberitahuan, “Akan Dikemaskini”.

Husam, 64, yang merupakan anak kelahiran Kampung Kota, Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pasir Mas.

Mantan Pengerusi PH Kelantan itu pernah menjadi Naib Presiden Pas dan menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan dalam kerajaan negeri pada tahun 2008.

Pemegang Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya (UM) tahun 1983 berkenaan juga disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika pemerintahan Pas tumbang pada PRU akan datang.

Untuk rekod, SPNB menerusi Rumah Mesra Rakyat bertujuan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah kurang RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

 

BACA JUGA ‘Orang Kelantan yang tinggal di Kelantan tak semua nak kemajuan’