Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara bagi tempoh enam bulan – KSN

Tan Sri Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh perkhidmatan selama enam bulan lagi berkuat kuasa mulai 6 Mac.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata pelantikan semula itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu memegang jawatan Peguam Negara sejak 6 Mac 2020 menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan Tan Sri Tommy Thomas.

Perkhidmatan beliau kemudiannya disambung setahun lagi yang sepatutnya berakhir pada 6 Mac 2022.

Idrus, 67, berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) Universiti Malaya memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada tahun 1980 dan memegang pelbagai jawatan selepas itu.

Pada 8 Februari lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan masih membincangkan kemungkinan calon-calon peguam negara yang sesuai bagi menggantikan Idrus yang tamat kontrak pada Mac ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga nama hakim dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Idrus, yang dilantik secara kontrak selama setahun bermula 6 Mac 2020.

BACA JUGA: Tindakan tarik balik permohonan semakan kes Batu Puteh tidak wajar – Peguam Negara