Ikut atas kertas, PH-BN boleh menang di Pulai, Simpang Jeram

Ikut atas kertas, PH-BN boleh menang di Pulai, Simpang Jeram

Pakatan Harapan (PH) dijangka mampu memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September depan.

Ketua Penyelidikan ILHAM Centre, Prof. Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, beliau melihat bahawa semua pemboleh ubah ketika ini lebih memihak kepada calon AMANAH dari Pakatan Harapan.

Pertama adalah demografi pengundi yang menyaksikan etnik Cina dan India melebihi 50 peratus di Pulai dan hampir mencecah 50 peratus di Simpang Jeram.

Menurutnya, PH hanya perlu memujuk dan memastikan pengundi kedua-dua etnik itu keluar mengundi kerana mereka adalah deposit tetap PH

“Kedua, Umno masih kuat di Johor, PH-BN hanya perlu pastikan pengundi teras BN keluar dan memberi undi kepada PH.

“Kalau pun hanya separuh pengundi teras BN ini keluar dan memberi undi, PH masih berpotensi untuk keluar sebagai pemenang.

“Ketiga, PH yang diwakili arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub menang selesa kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini, serta memilik perspektif baik daripada khalayak,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas Speaker DUN Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub iaitu Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket AMANAH sebagai bakal calon Parlimen Pulai.

Beliau bertanding untuk mempertahankan kerusi itu, menentang calon PN Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.

Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua AMANAH kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera.

Nazri bakal menentang calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

Sementara itu Mohd Yusri berpandangan, PRK Pulai dan Simpang Jeram adalah “straight forward” di mana PH yang diwakili AMANAH mempunyai peluang besar untuk diumum sebagai pemenang.

Bagaimanapun katanya, jika peluang tersebut masih tidak mampu dimanfaatkan sehingga tewas kepada Perikatan Nasional (PN), beliau berpandangan AMANAH perlu menimbang semula keberadaan mereka dalam landskap politik Malaysia.

BACA JUGA Kami ambil risiko besar tubuh parti baru, tak pernah takut kalah

COMMENTS

Wordpress (0)