Industri halal berkembang pesat di Selangor, bantu pensijilan pengusaha IKS – Exco

Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) berjaya meningkatkan perkembangan pesat industri produk halal apabila merekodkan lebih 4,000 pemegang sijil halal.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri berkata jumlah itu merupakan 50 peratus daripada keseluruhan 8,000 pemegang sijil Halal di seluruh negara dengan 75 peratus daripadanya merupakan pemilik bukan Islam.

“Ini bererti separuh daripada pemegang sijil Halal di negara ini berada di negeri Selangor.

“Kesedaran pengeluar atau pemain industri untuk memenuhi permintaan pengguna halal sangat baik dan mereka sangat positif dan responsif,” katanya Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata permohonan sijil halal yang diterima masih rendah dalam kalangan pengusaha Islam sendiri kerana merasa kurang penting untuk memilikinya.

“Sedangkan produk-produk begini hendak masuk pasar raya atau kedai mesti kena ada sijil halal.

“Cabarannya adalah kebanyakan produk-produk itu dihasilkan di rumah atau di atas tanah pertanian, jadi memang sukar untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.

Mohd Zawawi berkata bagi mengatasi masalah mendapatkan pensijilan halal melibatkan pengusaha Islam, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa agensi pemaju untuk membina premis Industri Kecil Sederhana (IKS) berskala kecil untuk mereka mampu bayar sewa.

“Contohnya kalau hasilkan produk karipap sejuk beku dan tidak mampu untuk menyewa kilang yang besar, jadi hanya perlu kawasan 20 hingga 40 kaki untuk ruang dapur, operasi dan pengeluaran untuk mereka terus bergerak,” katanya.

Untuk rekod, Pensijilan Halal bermula seawal tahun 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sejak 2020, Selangor adalah negeri pertama yang mewujudkan portfolio industri halal.

BACA JUGA: Selangor tekad rapatkan jurang kemiskinan, elak individu berlagak ‘Robin Hood’