Inflasi rendah perlu diterjemah kepada penurunan harga jualan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyeru semua pihak terutama peniaga untuk menyambut penurunan harga barang mentah dan menterjemahkannya dalam jualan mereka.

Ini kerana katanya terdapat beberapa barangan mentah yang sememangnya sudah turun namun apabila ia tidak diterjemah penurunan oleh peniaga, harga barang akan terus diperkatakan sebagai mahal.

Sehubungan itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyeru semua pihak terutama peniaga restoran dan gerai-gerai untuk menyambut penurunan harga barang mentah dan menterjemahkan penurunan itu dalam jualan mereka.

Jelas Rafizi, Kementerian Ekonomi mendapati semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan tahap sederhana kecuali komponen Restoran dan Hotel dan Perumahan yang meningkat dengan laju mendorong kenaikan kadar inflasi.

“Saya faham peniaga akan kata mereka tanggung pelbagai kos, mereka tak nampak penurunan harga barang, margin keuntungan masih lagi tertekan.

“Tetapi secara konsepnya, sekiranya kerajaan berjaya kawal inflasi pada kadar sihat untuk ekonomi tapi tak diterjemah kepada penurunan harga yang dibayar rakyat, negara kita akan ada masalah,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menjangkakan peratusan inflasi akan semakin memulih pada April depan dengan kadar 3.2 peratus, di mana jika ia berlaku, sebenarnya sudah menunjukkan bahawa harga barangan mentah berada pada tahap yang ‘sihat’

Bagaimanapun beliau menyatakan kebimbangan sekiranya harga akhir yang dibayar pengguna-pengguna di restoran atau gerai akan kekal dengan kadar lama yang agak mahal.

“Kita kena pastikan harga akhir pengguna melambangkan harga barang mentah.

“Kerajaan akan membantu memastikan input kos tak naik mendadak. Bila ini dikawal dan reda, kita kena lihat harga yang dibayar rakyat terutama di restoran yang makanan siap dibawa balik itu,” katanya lagi.

BACA LAGI Kadar inflasi Disember turun kepada 3.8 peratus – Rafizi