Ini bukan hubungan diplomatik biasa, kata PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Indonesia menduduki tempat istimewa di hatinya.

Tokoh yang dikenali dengan laungan keramat ‘Reformasi’ itu mengakui beliau banyak menimba pengalaman yang akan dimanfaatkan dalam memperkukuh muafakat kedua-dua negara.

“Ini bukan hubungan diplomatik biasa. Indonesia ini (mempunyai) tempat khusus dalam sanubari saya.

“Saya menimba banyak pengalaman dan ilmu walaupun saya sedikit lebih tua daripada Pak Jokowi tetapi pengalaman beliau itu saya sangat hargai,” katanya dalam nada sedikit berseloroh ketika berucap di Istana Bogor hari ini.

Dalam kunjungan sulungnya ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar menyatakan penghargaan terhadap sokongan Indonesia sepanjang beliau menempuh tempoh sukar sebelum ini.

“Terlalu ramai teman di sini membantu, semasa kita hidup dalam keadaan sukar, hidup dalam keadaan terumbang-ambing… derita, Indonesia menyambut kita sebagai sahabat sejati.

“Sebab itu, saya beritahu semalam pada media, orang yang sedia membantu kita… menunjukkan rahmah dan menyayangi kita dalam keadaan kita tersisih, terbuang dan terlempar arus di Malaysia.

“Terima kasih kepada Bapak (Jokowi) dan seluruh rakan, menerima saya sebagai keluarga besar,” kata Anwar sebelum mengusik dengan menyebut, “kerakyatan belum (diberi)”.

Keakraban dan suasana mesra sepanjang pertemuan dua pemimpin di negara serumpun Asia Tenggara itu turut menyaksikan kesungguhan Anwar untuk menangani pelbagai isu berbangkit.

“InsyaAllah, kita ada tekad politik yang jelas untuk menyelesaikan permasalahan asas itu, selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.

Berhubung masalah tenaga kerja Indonesia (TKI), beliau berkata, Malaysia akan menghindari isu-isu yang boleh merenggangkan hubungan kedua-dua negara.

“Jadi, soal TKI ini yang mengguris perasaan ramai rakyat Indonesia, saya tahu benar dan berpengalaman di penjara yang sama mendengar pada ketika itu kesan cambukan (sebatan) terhadap mereka.

“Saya tidak fikir ini suatu tindakan yang manusiawi. Alhamdulillah. Untuk tahun 2022, soal cambuk (sebat) itu sudah dihentikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengakui pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan keadilan berpihak pada golongan TKI.

“Penyelesaiannya harus lebih menyeluruh supaya nasib pekerja di peringkat bawahan itu dapat dibela,” ujarnya.

Dalam masa sama, Menteri Kewangan tersebut menegaskan bahawa pentingnya sistem pengambilan tenaga kerja Indonesia tidak mengambil keuntungan berlebihan sehingga menekan pekerja di peringkat bawahan.

“Soal digitalisasi unit ini sangat penting kerana ia dengan sendirinya akan mengurangkan kerenah birokrasi dan keperluan menggunakan terlalu ramai ejen (pengambilan TKI),” tambahnya lagi.

Baca juga Disambut Jokowi, PM Anwar Ibrahim tiba di Istana Bogor