Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan

Daerah Tampin di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Melaka, mungkin kurang dikenali berbanding destinasi pelancongan di Port Dickson, yang sinonim dengan pantai peranginannya.

Namun, daerah yang terletak kira-kira 46 kilometer (km) dari ibu negeri, Seremban dan 44 km dari Melaka ini, sebenarnya mempunyai cerita tersendiri melibatkan penduduknya.

Menceritakan perkara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Tampin, Abd Latif A Tambi berkata, kebanyakkan penduduk di situ terdiri daripada golongan pesara.

Katanya, mereka yang dahulunya keluar mencari rezeki di luar Tampin, kini kembali ke sana setelah bersara.

Abd Latif A Tambi

”Kebanyakkan penduduknya orang yang pencen. Mereka mencari kawasan atau rumah di Tampin untuk melayari hari-hari mendatang setelah bersara daripada dunia pekerjaan.

”Tampin ini juga dikelilingi bukit dan suasana yang sejuk. Penduduknya pula boleh beriadah bersama keluarga kerana terdapat banyak tempat untuk melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Beliau menceritakan demikian kepada Harapan Daily ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, baru-baru ini.

Abd Latif mengulas demikian apabila ditanya mengenai pengiktirafan daerah Tampin sebagai Bandar Paling Bahagia 2021.

Mengulas lanjut, Abd Latif yang juga Penyelaras DUN Gemencheh menyifatkan, golongan pesara di sana menikmati kehidupan yang membahagiakan.

”Mereka gembira di sini. Pergi ke masjid, selepas solat jumpa kawan-kawan pula kemudian pergi makan. Dah selesai makan, bungkuskan makanan untuk keluarga di rumah.

”Mereka sememangnya ‘menikmati’ kehidupan yang menyeronokkan sebab ada duit pencen, makan minum pun mudah dapat di sini, selain persekitaran yang cantik dan boleh berkebun,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, nilai kebahagiaan yang dikecapi di daerah itu adalah kerana kadar jenayah yang rendah, tiada kesesakan lalu-lintas dan kemudahan asas yang mencukupi.

”Mereka hidup gembira kerana semuanya ada di Tampin dan pada masa sama, tiada perkara yang boleh menyebabkan tekanan kepada mereka,” katanya yang turut memberi kredit kepada kerajaan negeri yang mewujudkan pelbagai inisiatif termasuk kepada penduduk Tampin.

Untuk rekod, kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi MPPH negeri, telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018 dengan pelbagai siri kejayaan dilakar sepanjang pentadbiran beliau sehingga kini.

Nama Tampin diambil daripada bekas makanan dikenali sebagai tampin yang diperbuat daripada daun mengkuang.

Mempunyai tujuh mukim, daerah berkeluasan kira-kira 88,000 hektar ini mempunyai kira-kira 100,000 penduduk.

Tampin mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur yang lengkap selain lokasi rekreasi seperti Taman Air Tampin, Jeram Repah dan Gunung Tampin.

Daerah itu diumumkan sebagai daerah paling bahagia di Negeri Sembilan apabila meraih skor tertinggi iaitu 99.5 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa ( PLANMalaysia).

BACA JUGA Bandar Paling Bahagia: Bukti PH Negeri Sembilan peduli segenap lapisan rakyat