
Ini masanya AMANAH terjemah nilai Islam tangani persepsi
Oleh SYAZMIR HN
Berakhirnya Pilihan Raya DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai tempoh hari menandakan tempoh jentera pilihan raya AMANAH untuk berehat.
Tempoh bertenang ini diambil setelah jentera berhadapan tiga kali pilihan raya dalam tempoh kurang dari setahun iaitu bulan Disember 2022 untuk PRU ke-15, Ogos 2022 untuk enam PRN dan dua PRK yang ditandingi oleh AMANAH.
Untuk menilai rekod AMANAH, pastinya beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh AMANAH gagal dipertahankan meskipun wakil rakyat tersebut mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
Antaranya di Parlimen, AMANAH gagal mempertahankan kerusi antaranya Tampin, Pokok Sena dan Lumut.
Di peringkat DUN pula, AMANAH yang berkhidmat cemerlang tumbang kepada PN seperti Sungai Ramal, Kubang Rotan dan Paroi.
Asasnya, AMANAH ditenggelamkan oleh sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak lawan sehingga menghilangkan pertimbangan pengundi untuk membuat pilihan.
Akhirnya, wakil AMANAH gagal mempertahankan kemenangan. Rumusan awal yang boleh dinyatakan adalah pihak lawan AMANAH khususnya Pas, lebih Islamik berbanding AMANAH.
Adakah benar AMANAH kurang Islamik atau tidak Islamik berbanding Pas?
Setujukah kita bahawa selagi AMANAH bersama DAP, AMANAH akan gagal menguasai undi Melayu Islam?
Bagi soalan kedua, konteks politik hari ini telah menakdirkan bahawa AMANAH perlu bersama DAP dan Perpaduan.
Ia sama dengan BN yang juga perlu bersama DAP dan PH, manakala DAP juga perlukan BN. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan keuntungan kepada BN dan PH sebagai kerajaan, tetapi lebih penting Kerajaan Perpaduan memacu kestabilan politik negara dan menguasai hampir majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Oleh itu, pilihan AMANAH adalah terhad kepada satu keputusan sahaja iaitu kekal bersama PH dan Perpaduan.
Sebaliknya, soalan pertama tadi jika terjawab boleh meminimumkan kesan kebersamaan DAP oleh pengundi Melayu Islam.
Sebenarnya, politik bukanlah perlumbaan antara Pas dan AMANAH siapa lebih Islam, namun sokongan pengundi Melayu Islam akan diberikan kepada parti yang lebih Islam.
Maka mahu tidak mahu, AMANAH perlu menyerlahkan nilai Islam yang diperjuangkannya agar pengundi sedar bahawa bukan Pas sahaja yang Islam, malah Islam menerusi pendekatan AMANAH lebih sesuai dengan masyarakat Malaysia.
Meskipun AMANAH hanya mempunyai tiga Ahli Dewan Negara, lapan Ahli Dewan Rakyat serta 11 Ahli Dewan Undangan Negeri, namun kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk wajar digunakan oleh kesemua YB AMANAH untuk menterjemahkan nilai Islam yang dibawa dalam kepimpinan masing-masing.
Ada banyak perimeter atau segmen yang boleh dibawa oleh YB AMANAH, cuma hari ini penulis mahu menterjemahkan sifat wajib Nabi Muhammad SAW dalam kepimpinan YB AMANAH.
Umat Islam akan hafal sifat tersebut iaitu Siddiq, Amanah, Fathonah dan Tabligh. Penulis hanya mahu menghuraikan sifat tersebut dari sudut seorang YB AMANAH yang mungkin mampu mengubah paradigma masyarakat kepada politik Islam.
Siddiq – benar
YB AMANAH yang dipertangunggjawab sebagai pentadbir dan pembuat dasar kerajaan mestilah berkata benar dan tidak membohongi rakyat.
Kepercayaan rakyat kepada setiap hujah oleh seorang YB AMANAH akan mempertingkatkan imej Islam dimata masyarakat.
Malah, membenarkan semua kata yang disampaikan dangan pelaksanaannya atau ‘walk the talk’ mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada YB AMANAH.
Amanah – dipercayai
YB AMANAH menjadi politikus kepercayaan rakyat dengan menumpukan segala daya yang ada demi membangunkan kehidupan rakyat. Mematikan semua agenda politik yang merencat kehidupan rakyat dengan fokus utama menggunakan kedudukan, kuasa dan keadaan hanya untuk kepentingan rakyat bukan peribadi.
Janji yang dialunkan akan dikota sehabis baik. Istilah YB AMANAH ‘boleh pakai’ menjamin kedudukan AMANAH di hati umat Islam.
Tabligh – penyampai
Mungkin sifat ini yang kurang dipertontonkan oleh YB AMANAH dalam penggal lalu sehingga AMANAH dikategorikan tidak Islamik. Setiap pendekatan atau usaha yang dibawa oleh YB AMANAH mestilah disampaikan kepada rakyat.
Mesej ini penting supaya keberadaan AMANAH dalam politik disedari. Malah, tujuan dan matlamat sesuatu dasar perlu dijelaskan kepada rakyat sehingga membumi ke akar umbi.
Biar beribu kali disampaikan, rakyat akan memahaminya. Pastinya setiap tindakan YB AMANAH bersandarka Islam, maka jelaskan kepada rakyat.
Islam yang dibawa adalah Islam yang sediakan makan minum, tempat tinggal serta pendidikan untuk umatnya.
Tanpa aspek penyampaian yang berkesan dengan petikan dalil yang sesuai, niat murni YB AMANAH gagal diketahui umum, malah AMANAH dianggap sebagai kurang Islamik.
Fatonah – bijaksana
YB AMANAH adalah pemimpin yang bijaksana dalam berpolitik. Suasana dan keadaan politik yang berlaku digunakan sehabis baik demi manfaat rakyat dan kelangsungan Islam.
Kebijaksanaan pimpinan AMANAH kekal menyokong Perpaduan meskipun duduk bersama seterunya BN menatijahkan keuntungan besar buat rakyat dan Islam.
Oleh itu, YB AMANAH perlu jadikan ia sebagai panduan. Dalam masa yang sama, YB AMANAH tanpa gagal berusaha untuk mecerdikkan rakyat dengan pelbagai program agar rakyat yang miskin menjadi kaya dan rakyat yang mundur menjadi bijak.
Ini buah fikir penulis kepada YB AMANAH yang telah pun dan akan memulakan tugas mereka.
Walau apa pun kedudukan YB, kelangsungan AMANAH mestilah dititikberatkan di mana persepsi AMANAH kurang Islamik berbanding Pas perlu ditangani sehabis baik dengan kuasa, kedudukan dan kerajaan yang YB AMANAH miliki.
Ini masanya YB AMANAH terjemahkan Islam yang dibawa kepada masyarakat.
BACA JUGA Perkukuh naratif Islam, kita tiada masa yang mewah