Inisiatif TUNS perlu dipantau, ketahui keadaan terkini peniaga kecil

Inisiatif Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang merupakan antara 64 inisiatif bagi membantu rakyat perlu dipantau dari semasa ke semasa.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sembilan, Norwani Ahmat berkata, cadangan pemantauan itu bertujuan memastikan keadaan semasa pemohon yang mendapat manfaat menerusi bantuan tersebut.

“Saya melihat pentingnya untuk mengetahui perkembangan pemohon bantuan itu.

“Perkembangan itu adalah seperti bagaimana tahap pendapatan mereka selepas mendapat bantuan sedemikian.

“Kita tidak mahu ianya sekadar untuk mengisi belanjawan tanpa melihat kepada realiti,” katanya ketika ditemui Harapan Daily di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, semalam.

Beliau yang juga Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Rembau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai Belanjawan Negeri Sembilan 2023 yang mengandungi 64 inisiatif bagi membantu rakyat.

TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 bagi melahirkan lebih ramai golongan usahawan terdiri daripada penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan.

Menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2023 inisiatif TUNS diteruskan untuk tahun kelima pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM3 juta.

BACA JUGA