Institusi agama di Perak mesti bebas daripada politik – Mufti

Negeri Perak tidak akan membenarkan institusi agama di negeri itu digunakan untuk menyampaikan dakyah politik.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata peraturan tidak membenarkan unsur politik masuk ke institusi agama adalah bagi mengelakkan unsur yang boleh memecahbelahkan umat Islam yang mempunyai latar belakang aliran politik berbeza.

“Parti politik nyawa dia sudah berbeza, sedangkan Islam hendak satu. Kalau parti politik dia bersyarah (berceramah) mana-mana sama, tiada nyawa, kerana nyawa dia itu pada perbezaan.

“Dia bernafas, makan, minum… dia berbeza mesti tekankan perbezaan. Dengarlah cara mana-mana pun mesti tekankan pada perbezaan,” katanya dipetik pada program Liqa’fikri yang diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa perbezaan dalam berpolitik itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan atau dinafikan kerana ia merupakan realiti dalam sistem demokrasi yang diamalkan

Hal itu, katanya bagi memberi ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka inginkan.

Bagaimanapun, katanya, politik yang sering diamalkan kebanyakan ahli politik adalah lebih menjurus kepada mencari perbezaan dan cenderung kepada anasir yang boleh mencetuskan perbalahan serta perkelahian.

Justeru, beliau melihat adalah amat penting untuk menjadikan semua institusi agama termasuk masjid serta surau didaftarkan secara rasmi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan bebas daripada sebarang unsur politik.

BACA JUGA Altimet: Masa rehat dah habis