Islamofobia datang daripada Pas bukan Kerajaan Perpaduan

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan bahawa Islamofobia itu tidak datang daripada Kerajaan Perpaduan seperti yang dituduh Pas tetapi sebaliknya dimulakan dengan pihak pembangkang sendiri.

Kerajaan Pas dikatakan terlalu ekstrim hingga menyebabkan ramai bukan Islam menolak untuk menyokong parti mereka.

Khalid pada masa sama berkata terdapat perbezaan ketara Pas di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz, kerana dibawah pimpinan Tok Guru masih ada bukan Islam yang menyokong Pas.

“Perangai Pas sekarang jauh berbeza dengan zaman Tok Guru Nik Aziz. Sebab pada zaman beliau memerintah ramai bukan Islam sokong Pas kerana dilihat parti itu lebih bersederhana, adil, selari dengan perlembagaan negara, serta menghormati hak bukan Islam sendiri.

“Tapi di bawah pimpinan Hadi, kita nampak orang bukan Islam takut kepada Pas, takut kepada Islam oleh kerana tindakan mereka itu sendiri dan bukan Kerajaan Perpaduan yang timbulkan Islamofobia,” katanya menerusi Bicara Khalid Samad yang berlansung semalam di Facebook.

Sebelum ini, Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa DAP mempromosi Islamofobia kepada golongan bukan Islam, melalui Facebooknya pada 28 November lalu.

Hadi mendakwa, Pas terus menjadi sasaran DAP selepas melihat kemaraan parti itu meraih kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

DAP dakwanya, ibarat membaling batu di tengah khalayak ramai pada waktu siang demi kepentingan politiknya, selain menyebarkan Islamofobia kepada kaum bukan Islam.

Khalid memaklumkan Pas dilihat tidak memahami konteks kehidupan sekarang dan masih dengan naratif zaman kerajaan Islam berperang dengan kerajaan bukan Islam, isu tersebut dikatakan boleh menimbulkan kekeliruan dan ketakutan.

Khalid juga mengingatkan Pas supaya tidak menganggap orang yang tak bersetuju dengan mereka sebagai musuh Islam.

“Tak boleh anggap orang tak setuju dengan kita sebagai musuh Islam, golongan anti Islam, golongan yang tunduk kepada bukan Islam.

“Ini berdasarkan kepada kefahaman hanya kita sahaja yang Islam dan perjuangkan hak Islam serta kehendak agama. Ini adalah pemahaman yang songsang jadi kita harap masyarakat dapat memahami,” tambahnya lagi.

Selain itu, Khalid dalam program bual bicara memaklumkan mengenai negara bangsa, jadi istilah Islam terancam tidak wujud dalam konteks ini.

Beliau memaklumkan mengenai kewujudan perlembagaan di mana agama Islam adalah agama Persekutuan dan perkara itu tidak boleh dengan senang keluar dari kerangka.

Ditambah pula dengan fitnah Islam terancam, Khalid menyoal sama ada Islam terancam hanya kerana Pas tidak memerintah.

“Islam dikatakan terancam padahal ia tidak berlaku. Perlembagaan ada dan kedudukan agama Islam jelas.

“Kita ada Sultan sebagai ketua agama, mufti dan juga jabatan agama Islam pun wujud di setiap negeri.

“Jadi apa yang dimaksudkan dengan Islam terancam, adakah sebab Pas tak memerintah. Masa diberi peluang memerintah, tak nampak hala tuju, menteri juga tak berfungsi,” ujar bekas Menteri Wilayah Persekutuan.