
Isu air Malaysia – Singapura dibincang dalam sesi pemukiman
Penyelesaian segera isu perjanjian air Malaysia-Singapura diperlukan untuk meningkatkan kadar harga bekalan air ke republik tersebut.
Rundingan semula harga air tersebut penting untuk menampung kos penyelenggaraan punca bekalan air, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan adalah antara yang dibangkitkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di sini, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama untuk memastikan Johor dapat meningkatkan kapasiti bekalan air bagi kegunaan negeri serta negara jiran itu.
“Dalam isu air, menangguhkan (isu itu) tidak memberi keuntungan pada kita, malah penangguhan memberi makna harga air kekal pada kadar lama.
“Mempercepatkan (penyelesaian) isu air akan ada keupayaan untuk kita meningkatkan sedikit kos harga air dan kesediaan Singapura untuk bersama menyelenggarakan projek di sungai Johor yang memerlukan juga suntikan kewangan dari Singapura.
“Bagi saya, hal ini (rundingan air) sudah kita capai malah Singapura dan Johor boleh menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai-sungai dan kapasiti pengeluaran air di Johor.
“Perkara ini kita akan bincang lebih lanjut bersama kerajaan Johor,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
SEZ Johor-Singapura
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk bekerjasama membangunkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor – Singapura dan ia akan dimulakan dengan kajian ketersauran ke atas ekosistem kedua-dua negara.
Satu memorandum persefahaman akan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.
“Pertama, terdapat keperluan untuk memperbaiki aliran barangan di kedua-dua belah kerana SEZ bermakna ada kemudahan cukai khas dan gudang untuk aliran rentas sempadan yang lebih mudah.
“Kedua, kemudahan aliran rakyat yang lebih baik dan mudah terutamanya yang bekerja di kedua-dua belah Causeway,” kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di dalam sidang akhbar bersama yang telah disiarkan langsung dari Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.
Beliau turut mengakui SEZ tersebut akan meningkatkan ekosistem kawasan pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia dan Singapura.