Isu anak hantar ibu bapa ke pusat jagaan dahului sidang Parlimen pagi ini

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadi perhatian Parlimen pagi ini apabila beberapa soalan berkaitan akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dijadual bertanya sama ada kementerian itu berhasrat memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan potongan gaji kepada anak yang menghantar ibu bapa ke pusat atau rumah jagaan warga emas.

Sany Hamzan

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan pusat jagaan khas anak luar nikah di seluruh negara selain menyentuh mengenai bantuan serta pengiktirafan kerajaan ke atas usaha yang dijalankan badan bukan kerajaan.

Turut menyentuh bidang kuasa KPWKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula syarat-syarat kelulusan pengambilan anak angkat terutamanya kanak-kanak mangsa penderaan.

Bekas Perdana Menteri berkenaan juga akan bertanya jika kanak-kanak terbabit kes penderaan akan ditempatkan di rumah kanak-kanak untuk lebih lama sebelum dipulangkan kepada waris.

Selesai sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan hari ketiga perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 turut dijadual dibaca buat kali kedua hari ini.

BACA JUGA J-KOM jadi perhatian ahli Dewan Rakyat