‘Isu bekalan air di Kedah ada tapi kerajaan negeri susah nak berunding’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen kerajaan untuk melaksanakan program besar-besaran bagi menyelesaikan isu air di Kelantan dan Sabah.
Dalam ucapannya di hadapan ratusan penjawat awam pagi ini, beliau berkata sudah terlalu lama masa diambil untuk menyelesaikan isu air di Kelantan dan Sabah, dan ia satu perkara yang tidak boleh diterima.
Beliau juga sempat menyinggung tentang isu air di Kedah, namun memberitahu “Kedah itu susah sikit nak berunding”.
Ahli Parlimen Tambun itu tidak menyebut sesiapa namun mungkin dituju kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor yang kerap kali menyalahkan Kerajaan Persekutuan untuk bertanggungjawab dalam soal bekalan air.
“Semalam dalam konvensyen, saya sebut keadaan bekalan air di Sabah dan Kelantan. (Isu air) berlaku juga di Kedah, tapi Kedah itu susah berunding sikit.
“Kalau ikut rancangan kita, (pemulihan bekalan air) mengambil masa terlalu panjang. Kalau saya duduk di Sandakan dan diberi air minum bercampur air laut yang masin, itu satu masalah. Ini bukan soal politik. Ini soal dasar kita.
“Jadi saya dah berunding dengan Menteri Besar Kelantan dan Sabah (untuk mencari penyelesaian) dan persembahkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya kata, kita kena ambil alih tanggungjawab ini walaupun belanjanya besar,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2023.
Dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan telah menyentuh soal penyelesaian kepada bekalan air di dua negeri tersebut.
Bagaimanapun, Anwar tidak menjelaskan secara terperinci berkaitan masalah air di Kedah.
Beliau berkata, berbeza dengan Kelantan yang ditadbir oleh Pas telah menunjukkan sikap bersedia untuk berunding dengan kerajaan Pusat membabitkan urusan pembangunan di negeri itu.
“Sekurangnya Menteri Kelantan boleh dirunding dengan baik maka kita dua kali lebih baik. Bagi orang yang angkuh dan sombong tinggalah kamu dengan kesombongan itu,” sindir Anwar yang mungkin merujuk kepada Kedah.