Isu berarak bawa replika senjata ke Kabinet minggu ini

Kejadian perarakan membawa replika senjata oleh Pemuda Pas di Terengganu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau sendiri akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet.

“Empat negara umat Islam iaitu Afghanistan, Iraq, Somalia dan Syria telah hancur kerana isu takfiri sebegini.

“Saya menyeru KDN dan pihak-pihak berkaitan mengambil berat apa yang berlaku di Terengganu ini dan tidak boleh dibiarkan,” kata Mohamad dalam sidang medianya petang ini.

Mohamad Sabu bimbang, kemusnahan empat negara umat Islam sebelum ini akan berjangkit ke Malaysia jika takfiri tidak dibendung.

Menurut Mohamad yang juga Presiden AMANAH itu, kejadian di Setiu, Terengganu itu sangat menggusarkan beliau dan tidak boleh dipandang mudah.

“Saya yakin, bukan saya saja yang gusar melihatnya tetapi mana-mana pelabur yang berminat untuk melabur di negara ini samada dalam atau luar negeri apabila melihat gambar-gambar itu juga akan risau,” kata beliau.

Mohamad mengulas gambar perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 23) yang berlangsung di Setiu kelmarin yang memperlihatkan pemuda Pas berarak dengan membawa replika senjata serta pakaian kelengkapan perang zaman dahulu.

Dalam perhimpunan itu, para peserta berarak berjalan kaki dan juga kenderaan pacuan empat roda sambil membawa replika pedang gergasi.

Ketua Pemuda Pas, Fadli Shaari dan Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim antara yang turut serta di perhimpunan anjuran Dewan Pemuda Pas Terengganu itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga memandang serius mengenai acara pada 17 Februari lalu itu.

Menurut beliau, perarakan replika bersenjata yang tular dalam media sosial itu telah menimbulkan kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (kaum, agama, raja) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BACA JUGA Berarak dengan ‘senjata’, berbaju perang: Pas kebal di negeri presiden?

JUGA Perarakan Pemuda Pas: Wanita PH Terengganu buat laporan polis