Isu Jailani Khamis: Antara selamatkan kerusi dan hak berpersatuan

Isu Jailani Khamis: Antara selamatkan kerusi dan hak berpersatuan

Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis yang tidak muncul di depan Lembaga Disiplin Umno mahu parti tersebut memecatnya.

Beliau dipanggil kerana menghadiri majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu.

Pada awalnya beliau mempertahankan diri dengan berkata beliau hadir atas kapasiti sebagai mewakili Tan Sri Annuar Musa yang memimpin NGO Muafakat Nasional.

Jailani sendiri pengerusi MN Melaka. Beliau juga exco pelancongan, warisan dan budaya Melaka di dalam kerajaan negeri.

Laporan Malaysiakini menyatakan beliau menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Jika difikirkan secara mendalam, hasrat Jailani agar dipecat dari Umno hanyalah untuk mengekalkan jawatannya sebagai Adun.

Dia mahu mengelakkan pilihan raya kecil yang akan dipanggil sekiranya melompat keluar dari Umno.

Peruntukan perlembagaan berkenaan anti-lompat parti tidak membenarkan individu melompat tetapi sebaliknya parti boleh berbuat demikian.

Ia akan memudahkan penghijrahan Jailani.

Isu kedua pula membabitkan Umno. Memandangkan MN sebagai pertubuhan bukan kerajaan condong kepada Perikatan Nasional, adakah Umno akan mengambil tindakan disiplin terhadap semua ahlinya yang turut menganggotai MN?

Dari sudut politik, itu langkah terbaik kerana membersihkan parti dari anggota yang besar kemungkinan berpaling tadah.

Dari sudut kebebasan pula, ia bertentangan dengan hak berpersatuan.

Adalah lebih mudah untuk Umno sekiranya Jailani melompat parti.

Dalam keadaan Umno tidak mendapat sokongan majoriti Melayu, adakah pilihan raya kecil Rembia jalan terbaik?

 

COMMENTS

Wordpress (0)