Isu jawatankuasa kariah: MAINPP perlu buat majlis penerangan

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) perlu membuat majlis penerangan mengenai penamatan beberapa nama jawatankuasa kariah masjid yang dimainkan pihak tertentu terutama Pas.

Pengerusi Kanun AMANAH, Dr Zulqarnain Lukman berkata, dakwaan bahawa kononnya MAINPP menidakkan amalan demokrasi adalah tidak tepat memandangkan pelantikan pengerusi dan seluruh ahli jawatankuasa kariah mestilah diputuskan oleh Majlis Agama Islam setelah menerima syor nama daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah.

“Antara lain yang ditimbulkan adalah bahawa Majlis Agama Islam Pulau Pinang itu tidak adil dan menamatkan jawatan mereka atas dasar dendam politik.

“Pihak Majlis (MAINPP) pula hanya mengeluarkan kenyataan bertulis mengenai hal itu dan tidak membuat apa-apa majlis penerangan mengenai hal itu.

“Dalam hal ini, pihak Majlis harus bertindak dengan lebih aktif menggunakan jentera kerajaan untu menerangkan hal ini dan tidak membiarkan ianya berlarutan sehingga menimbulkan kekeliruan ramai,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi tidak puas hati pihak tertentu berhubung pengguguran beberapa nama pengerusi kariah masjid terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, mereka yang terpilih telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah lima Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003.

Mengulas lanjut, Zulqarnain menjelaskan bahawa pelantikan menerusi mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung khas kariah adalah tidak sah sehingga ianya diberikan tauliah oleh MAINPP.

“Keputusan dalam mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung khas kariah tidak mengikat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

“Majlis mempunyai kuasa untuk meminta dikemukakan nama-nama yang lain, atau melantik mana-mana anak kariah bagi kariah masjid itu yang pada pandangannya adalah layak untuk menjadi pengerusi atau ahli jawatankuasa kariah,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, peguam berkenaan berkata, pihak yang masih tetap membantah keputusan MAINP itu boleh mencabarnya melalui proses semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil.

Baca juga PM Anwar mahu jadikan warkah Saidina Ali prinsip panduan