Isu Palestin: PM Anwar beri jaminan kelantangan Malaysia tidak jejas pelaburan luar

Isu Palestin: PM Anwar beri jaminan kelantangan Malaysia tidak jejas pelaburan luar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) sama sekali tidak terjejas susulan kelantangan Malaysia di Persidangan APEC yang membantah pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata, pelabur utama termasuk Google Inc dan Microsoft Inc masih lagi memberi keutamaan kepada faktor politik negara yang stabil dan ekonomi Malaysia yang jelas.

“Ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan dengan AS dan negara-negara eropah itu, akan menjejaskan kedudukan ekonomi

“Tentulah tanggungjawab kita untuk memantau terus. Tetapi setakat ini, saya ingin memberikan penjelasan dan jaminan bahawa (kami telah) menemui beberapa pelabur terutama di AS…

“Nampaknya keutamaan masih diberikan berdasarkan politik yang stabil, dasar ekonomi yang jelas, dan kaedah mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendali oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

“Soal hubungan perdagangan, setakat ini tidak menjejaskan sama sekali. Mereka tahu pendirian kita, mereka ikuti kenyataan kita,” katanya ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan jumlah pelaburan sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Anwar berkata, setakat ini Malaysia sudah berjaya memperoleh sejumlah RM63.02 bilion komitmen pelaburan langsung asing (FDI) dari AS.

Ia diperoleh ketika Misi Perdagangan & Pelaburan MITI ke AS (TIM USA) dan mesyuarat secara bersemuka Anwar dengan syarikat AS yang diadakan pada 15 November di San Francisco.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan kelantangan mengkritik kekejaman Zionis untuk membela penduduk Palestin bukan bermakna beliau tidak prihatin mengenai kebajikan kaum minoriti di negara ini.

“Ada satu pihak mengatakan mengapa hanya Palestin (yang dipertahan) dan tidak mengendahkan masalah dalam negara terutama kalangan minoriti.

“Saya ingin menjawab tidak ada minoriti kita dibunuh beramai-ramai, tidak ada kemusnahan gereja dan kuil-kuil.

“Sementara dia kurang setuju dengan langkah kita menyokong Palestin, saya fikir tidak munasabah dan waras untuk dia bangkitkan soal kebencian ini,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )