Isu Palestin sudah pun dibawa ke ICC

Isu Palestin sudah pun dibawa ke ICC

Menteri Luar Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan isu Palestin sudah pun dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam isu konflik Israel – Palestin.

“Terkini PBB luluskan permohonan OIC disokong oleh Malaysia dan beberapa negara untuk mesyuarat tergempar yang akan dipengerusikan pengerusi PBB pukul 10 pagi waktu New York.

“Isu Palestin sudah pun dibawa ke ICC. Menurut Statut Rom, hanya boleh dirujuk oleh ahli Statut Rom, Majlis Keselamatan PBB, inisiatif pendakwaraya ICC. Palestin telah menerima pakai Statut Rom pada 2015.”

Malaysia tidak menerima Statut Rom.

“Pendakwaraya ICC telah buat pemeriksaan awal atas situasi Palestin samada kriteria Statut Rom telah dipenuhi untuk buka siasatan.

“Pada Disember 2019 pendakwaraya ICC memutuskan kriteria berkanun di bawah statut Rom dipenuhi bagi membuka siasatan.”

Zambry berkata demikian semasa sesi persoalan menteri ketika menjawab Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas)

Dakwaan jenayah sejak 2014

“Seterusnya pra perbicaraan dalam kamar telah dilaksanakan pada Februari 2021 untuk menentukan samada ICC mempunyai bidang kuasa ke atas situasi Palestin disebabkan ia melibatkan isu perundangan dan wilayah yang kompleks mencakupi Tebing Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.

“Hasil pra perbicaraan dalam kamar, pendakwaraya umum hasil pada Mac 2021 untuk buka siasatan ke atas situasi Palestin dan dakwaan jenayah dilakukan oleh Israel sejak 13 Jun 2014 tanpa ada tempoh tamat.

“Justeru, situasi Palestin sudahpun dalam proses ICC. Malaysia akan sentiasa seru dan kerjasama dengan negara anggota OIC serta negara sepemikiran agar PBB dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ICC malah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).”

Zambry menambah bahawa Malaysia juga telah mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat yang telah diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai 2024 susulan daripada resolusi 74/247 yang diluluskan PBB agar ICJ memberi pendapat nasihat.

“Kenyataan tersebut memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat untuk penentuan nasib sendiri.

“Malaysia juga bercadang menyertai sesi lisan yang dijangka berlangsung pada 19 Feb 2024. Penyertaan Malaysia dan negara sepemikiran dalam proses mendapatkan pendapat nasihat di ICJ berhubung isu Palestin melambangkan komitmen jitu negara dalam membantu mencari penyelesaian konkrit dalam isu Palestin.”

Dalam soalan susulan Ahmad Fadhli bertanyakan beza usaha kerajaan sekarang berbanding kerajaan lalu dan turut menyarankan kerajaan menghantar nota bantahan kepada negara-negara yang telah mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pendirian Malaysia.

Ahmad Fadhli turut menyeru Zambry menamakan negara-negara tersebut.

Zambry menjelaskan pendekatan Anwar adalah lebih proaktif dalam menghubungkan negara-negara sependirian dalam isu Palestin.

“Ini pendekatan kali pertama kita lakukan dalam keadaan serius. Kita tidak boleh hanya sekadar mengecam, menyampaikan bantahan tetapi mesti ada langkah -langkah yang lebih mantap tegaas dan membawa seluruh OIC.

“Lantaran itu dalam mesyuarat GCC Perdana Menteri mengambil kesempatan dengan pemimpin Asean dan GCC untuk berinteraksi menyampaikan pendirian Malaysia.

“Beliau dari Riyadh, Arab Saudi ke Turkiye dan Kaherah, Mesir kerana itu adalah antara negara yang sangat penting dalam menentukan perjuangan kita yang selanjutnya.

“Perpaduan dan suara bersama daripada negara – negara berkenaan sangat penting. Malaysia berada dalam kelompok itu sekali.

“Dalam pertemuan yang saya hadiri dengan MBS, Presiden Erdogan, Presiden El Sisi saya menyaksikan bagaimana harapan daripada peara pemimpin ini melihat Malaysia dapat mainkan peranan yang sangat penting connecting the dot.”

Zambry enggan menamakan nama negara yang mengugut Anwar tetapi menegaskan bahawa Malaysia tidak gentar dengan ugutan tersebut.

Usaha halang gempuran Israel ke atas Gaza

Dalam soalan tambahan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) bertanya berkenaan pengumuman Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mengumumkan bahawa Israel sudah bersedia menggempur Gaza.

Ground offensive ke atas Gaza belum dilakukan tetapi tak boleh ambil mudah. Sebab itu, Malaysia dan negara-negara lain dalam OIC bertungkus-lumus dalam beberapa hari ini untuk memastikan perkara ini tidak dilakukan.

“Saya sepatutnya di New York untuk bersama-sama tapi saya ditugaskan di tempat lain bagi melaksanakan misi mengekang tindakan ini.

“Ini termasuk kita bersama OIC dan Liga Arab adakan persidangan khas UNGA supaya disegerakan halangan terhadap sebarang serangan,” kata Zambry lagi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )