Isu penerbangan: KPDN minta pengguna buat aduan terus kepada MAVCOM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta orang ramai membuat aduan berhubung sebarang isu pertikaian berkaitan perkhidmatan syarikat penerbangan terus kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Kementerian dalam kenyataan berkata ini kerana penerbangan adalah di luar bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna KPDN.

“KPDN menyeru semua pengguna untuk menyimpan, merekodkan semua transaksi apabila berhubungan dengan syarikat penerbangan dan membuat aduan terus kepada MAVCOM berserta bahan bukti melalui pautan https://flysmart.my/en/make-a-complaint/ atau emel enquiries@flysmart.my.

“Segala aduan yang KPDN terima selama ini telah dimajukan kepada MAVCOM untuk tindakan selanjutnya,” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDN juga memberitahu, pihaknya mengambil maklum tentang aduan pihak Persatuan Pengguna (FOMCA) dalam Buletin Utama 16 April lalu berkaitan perkhidmatan pengangkutan udara terutama berkenaan harga, perkhidmatan, pertukaran jadual dan pembatalan penerbangan.

BACA JUGA: Isu tiket penerbangan mahal: Loke nafi tuduhan Ka Siong