Isu sampah: Pemuda Pas buta fakta samakan Pulau Pinang dengan Kelantan
Pemuda Pas diselar sebagai buta fakta apabila cuba mengheret dan menyamakan Pulau Pinang dengan Kelantan yang berdepan masalah “kotor dengan sampah” akibat kelemahan tatakelola pentadbiran negeri yang ditadbir parti itu.
ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata berbanding Pulau Pinang, Kelantan antara negeri termundur di Malaysia disebabkan kegagalan kerajaan Pas dalam memajukan ekonomi tempatan dan membasmi kemiskinan.
Atas sebab itu, beliau menjemput Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Nawi untuk datang ke Pulau Pinang untuk belajar ilmu pengurusan kebersihan bagi membantu Kelantan ke arah pembangunan yang lebih bersih.
“Selaku ADUN di Pulau Pinang, saya mengalu-alukan Firdaus dan kawan-kawannya dari Pas untuk membuat lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang.
“George Town misalnya telah menerima anugerah bandar pelancongan bersih ASEAN pada tahun 2022. Insya-Allah, ilmu pengurusan kebersihan daripada George Town akan membantu Kelantan ke arah pembangunan yang lebih bersih dan ‘madani’.
“Di Pulau Pinang, kita tidak mendengar rungutan rakyat berkaitan air kotor, sampah yang tidak terurus atau mempunyai masalah peluang pekerjaan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata hasil tadbir urus yang cekap, rakyat Pulau Pinang menerima pelbagai bantuan ketika pandemik Covid-19 menerusi Pakej Bantuan Khas sebanyak RM176.45 juta.
Jelasnya bajet hal ehwal Islam meningkat saban tahun dengan tahun ini diperuntukkan sebanyak RM75.08 juta.
Untuk rekod, di bawah pentadbiran PH, Pulau Pinang merupakan antara negari terawal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak 2016.
Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18 peratus dan menjelang 2030, ia dijangka naik kepada 70 peratus.
Faiz berkata data saintifik yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan juga menunjukkan air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang terbersih dan selamat.
Bukan itu sahaja, kerajaan Pulau Pinang sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah di mana kapasiti air mentah dijangka meningkat sebanyak 569 juta liter sehari menjelang 2030 selain sedang menuju ke arah bekalan air mentah yang lebih mapan, katanya.
“Walaupun Pulau Pinang sering difitnah dengan sentimen perkauman dan agama, hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik di sini dan Islam juga diamalkan dan berkembang dengan begitu baik.
“Kelantan mungkin maju dengan slogan Islam, tetapi nilai Islam dalam pentadbiran semakin lupus. Bersih dan berkebajikan adalah nilai dan prinsip Islam yang cukup tinggi, tetapi tidak dirasai rakyat di negeri Kelantan,” ujarnya.
Semalam Mohd Firdaus memuat naik beberapa pautan laporan media mengenai isu kebersihan terutamanya kes sampah haram dan pencemaran sungai di Pulau Pinang.
Ia sebagai balasan kepada Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff yang mengkritik isu kebersihan, kualiti air dan jalan yang sempit di Kelantan, sambil menambah beliau tidak akan merasai pengalaman mengecewakan itu di Pulau Pinang.
Kata Mohd Firdaus, sindiran Agus kepada Kelantan adalah tidak cermat kerana dakwanya, Pulau Pinang turut menghadapi masalah yang sama seperti Kelantan.
“Kata orang lama, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Maksud mudahnya hati-hati dalam berkata-kata. Pulau Pinang tidak bersalah tetapi agus telah mengheretnya dalam kancah perbandingan yang memualkan.
“Jika mahu dikatakan Kelantan kotor dengan sampah, katakanlah sahaja dan jangan bandingkan kerana Pulau Pinang juga berdepan masalah sama. Sebagai informasi Agus, saya sertakan capaian akhbar yang boleh dibaca Agus,” kata Firdaus yang dipetik dari Facebook PAS.
BACA JUGA: Tiga perkara merimaskan balik beraya di Kelantan
Â