Isu ‘sedekah’ PRU, SPRM kenal pasti 90 saksi terima wang dari Pas

Susulan dakwaan pemberian wang tunai kepada pengundi untuk mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah mengenal pasti kira-kira 90 saksi yang terlibat menerima wang tersebut.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Selebihnya masih lagi dalam usaha penjejakan kerana ramai antara mereka yang terlibat adalah pengundi luar dan tidak menetap di Terengganu, lapor Malaysiakini.

SPRM memangil semua saksi itu bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada Pas bagi tujuan mengundi.

“Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

“Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

“Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber seperti dipetik Malaysiakini.

Siasatan juga dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu, kata sumber agensi itu.

Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

Selepas berakhirnya PRU 15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa Pas telah memberi wang kepada pengundi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan pengagihan wang tunai kepada pengundi, mengatakan undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada “bersedekah”.

Dia dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Baca juga: SPRM sahkan beku dua akaun Bersatu, siasat sumbangan dianggap suapan