Isu tiket penerbangan mahal: Loke nafi tuduhan Ka Siong

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan Presiden MCA Wee Ka Siong berhubung isu tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau yang terlalu mahal sempena Aidilfitri.

“Saya telah menghubungi Group CEO Malaysia Airlines (MAB), Captain Izham dan mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah kelas perniagaan.

“Beliau juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan (Business Class) dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138.

“Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin YB Wee faham perbezaan antara tiket Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi,” kata Loke menerusi laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Untuk rekod, Wee dalam satu kenyataan mendakwa harga tiket kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Tawau mencecah RM3,138.

Jelasnya, syarikat penerbangan seharusnya berpada-pada dengan tidak meletakkan  tambang terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat pada musim perayaan.

Susulan itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menghargai keprihatinan Wee terhadap isu harga penerbangan dan kapasiti pesawat melibat ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti.

“Saya akan mengadakan sidang media khas pada pukul 12 tengah hari esok di Kementerian Pengangkutan untuk memberikan fakta tambahan kapasiti penerbangan untuk musim Hari Raya tahun ini,” jelasnya.

 BACA JUGA: Peningkatan penerbangan tambahan tunjukkan ekonomi makin pulih