“Itu gambar lama, makan di rumah Sheikh Qatar” – Hassan Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menangkis fitnah yang tular di media sosial mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamu selera dengan hidangan mewah dalam dulang besar.

Beliau yang mengakui merupakan salah seorang individu dalam gambar tular tersebut berkata imej tersebut bukan di Malaysia sebaliknya di rumah seorang sheikh Arab di Qatar sekitar tahun 2019.

“Saya dimaklumkan gambar menunjukkan Anwar Ibrahim dan beberapa orang lain sedang menjamu selera ditularkan di internet untuk memfitnah Perdana Menteri, ketika rakyat miskin makan menu Rahmah tetapi PM menghadapi hidangan nasi mewah dalam dulang yang amat besar saiznya.

“Saya terpanggil untuk membela dan mempertahankan nama baik Perdana Menteri kerana saya tahu hal sebenar gambar ini kerana saya pun ada di dalam foto tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Hassan berkata gambar itu dirakam ketika kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang dan bukannya semasa Anwar menjadi Perdana Menteri.

Jelasnya ketika itu Anwar baru menang pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson dan belum lagi menjadi ketua pembangkang.

“Gambar ini diambil di rumah seorang sheikh iaitu kerabat rapat Sheikh Pemerintah Qatar,” katanya.

Anwar dan rombongannya sebelum pulang ke Malaysia telah dijemput oleh sheikh berkenaan untuk singgah ke rumahnya sebelum ke lapangan terbang Doha untuk berlepas pulang ke tanah air.

Jelas Hassan sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya turut terperanjat dengan hidangan yang hebat seperti dalam gambar itu.

“Kami memahami itu mungkin budaya Arab. Kami makan bersila dalam pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta,” ujarnya.

Hassan bersalaman dengan Sheikh Yusuf Al-Qaradawy ketika mengikuti rombongan Anwar ke Qatar sekitar tahun 2019. Hassan memuat naik gambar ini ketika mengingati pemergian tokoh ulama besar itu pada 26 September 2022.

Turut serta dalam rombongan itu ialah bekas Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani, bekas Ahli Parlimen Kangar, Mohd Amin Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail.

Selain Hassan, turut hadir bekas Ahli Parlimen Kemaman Allahyarham Abdul Rahman Yusof.

“Anwar ke Doha, Qatar dalam kunjungan itu, pertama untuk memenuhi jemputan Perdana Menteri Qatar. Keduanya, Anwar dijemput ke persidangan memperingati tokoh renaissance Islam terkenal bernama Malek Ben Malek di Universiti ternama di Doha,” katanya.

Selain itu, kata beliau Anwar dan rombongannya turut menziarahi tokoh ulama Islam terkenal Sheikh Dr Yusof Al- Qardawi.

“Anwar dan rombongannya bukan ke Doha,Qatar untuk makan nasi Arab dalam dulang besar itu. Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran untuk melindungi nama baik Perdana Menteri daripada difitnah sesuka hati. Kebenaran pada saya adalah dinding kepada fitnah,” katanya.

Jelas Hassan sudah lama beliau tidak mempertahankan Anwar sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya lebih banyak menegur dan mengkritik Anwar dan kerajaannya tetapi hari ini, saya tidak boleh berdiam diri. Fitnah terhadap diri Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan tanpa dicabar dan dipatahkan,” tegas beliau.

Namun beliau berharap agar pihak menteri tidak sampai buat aduan polis terhadap individu yang membuat hantarkan di Facebook berkenaan gambar itu.

“Jangan gunakan polis untuk tutup mulut si pemfitnah. Kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan yang rasional. Itu lebih bersifat Madani,” katanya.

May be an image of 7 people, people sitting, people standing and indoor
Gambar yang tular kononnya Anwar menjamu selera dengan hidangan mewah bersama beberapa bekas Ahli Parlimen dan pegawai-pegawainya.