Jangan biar “Sivaji” sendirian

Kita boleh perhatikan satu persamaan yang ketara antara Tun Mahathir Mohammad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Tun Samy Vellu.

Mereka bertiga pencinta ilmu dan pembaca tegar buku pelbagai bidang dalam pelbagai bahasa.

Dari sudut pengucapan awam, Mahathir menguasai teknik memanfaatkan telepanduan (teleprompter) secara profesional sehingga orang ramai selalu menyangka beliau berucap tanpa teks.

Samy Vellu pula boleh bercakap secara spontan tentang apa-apa topik semasa berucap atau pada sidang media, walaupun sering menjadi bahan jenaka orang ramai susulan penggunaan istilah dan frasa yang mungkin kurang tepat.

Sementara itu, ketokohan Anwar sebagai seorang pemidato sudah diketahui dan dikagumi ramai sejak beliau menjadi mahasiswa di Universiti Malaya (1968-1971).

Setahu saya, Mahathir dan Samy Vellu bergerak sendirian (one-man show) dalam proses mengumpul data dan menyediakan teks ucapan.

Anwar pula bersikap lebih profesional dengan cara menggunakan khidmat kumpulan pemikir (think tank) yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.

Pada masa sekarang, walaupun Datuk Seri Najib Razak berada di dalam penjara sejak 23 Ogos 2022, akaun Twitter miliknya masih aktif.

Ciapan (tweet) dari akaun itu memang agak sinis dan berani, sehingga kita kadang-kadang lupa bahawa ia pasti sahaja sedang diuruskan salah seorang pembantu Najib.

Sementara itu, ciapan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pula mengisyaratkan mesej yang bercampur aduk sehingga saya merasakan seolah-olah akaun Twitter itu diuruskan oleh beberapa individu (pembantu) dengan latar belakang berbeza.

Sebagai seorang perunding media dan pembimbing pengucapan awam, saya sering menasihati kenalan dalam bidang politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengabaikan aspek pengucapan awam dan kemahiran berkomunikasi.

Kedua-duanya perlulah dipelajari dan diamalkan selalu supaya menjadi sebahagian daripada sifat semula jadi individu terbabit.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Britain, perunding imej, perunding media dan jurulatih pengucapan awam dilantik khas untuk membimbing setiap politikus secara peribadi.

Kesedaran itu juga ada dalam diri usahawan, artis dan mana-mana individu yang menganggap dirinya seorang tokoh masyarakat (public figure).

Malangnya, aspek berkenaan kurang diberi perhatian di negara kita, sama ada dalam kalangan tokoh politik (kerajaan dan pembangkang), usahawan, sasterawan atau individu yang menganggap dirinya pempengaruh (influencer).

Kalau pun ada, kemahiran komunikasi, pengucapan awam dan penampilan diri itu kemungkinan besar merupakan sikap semula jadi yang dimiliki; bukan sesuatu yang diterapkan secara penuh sedar atau dipelajari khusus untuk meningkatkan penampilan diri.

Sejak Anwar menjadi perdana menteri pada 24 November 2022, kita amat kagum dengan pengucapan awam, kemahiran komunikasi dan penampilan dirinya.

Hal ini jelas apabila istilah-istilah yang beliau gunakan dalam ucapan, capal yang dipakai serta penampilan diri tanpa tali leher mendapat perhatian ramai, selain menjadi ikutan.

Walaupun terpalit pelbagai tuduhan dan fitnah yang mencalar imej diri sejak tahun 1998, ketegasan Anwar menyatakan pendirian tidak sesekali mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), saya lihat sebagai bukti beliau menguasai segala kemahiran yang dinyatakan tadi.

Saya katakan demikian kerana tentulah mana-mana individu akan berasa kurang selesa (malah gabra) jika ditanya tentang suatu topik yang amat sensitif dan mampu mengundang polemik.

Kita tentu masih ingat peristiwa Najib gagal mengawal perasaan dan mahu meninggalkan sesi wawancara yang disiarkan menerusi stesen Al Jazeera pada 27 Oktober 2018 (serta menang Anugerah Kewartawanan Televisyen di United Kingdom).

Pelakon Rajinikanth dalam filem Sivaji The Boss

 

Bandingkan pula dengan cara Anwar menangani – malah menguasai dan memanfaatkan – situasi apabila berbicara tentang isu LGBT dalam program “Naratif Khas Bersama Perdana Menteri” di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari 2023.

Kehebatan Anwar sebagai seorang tokoh yang memiliki kemahiran komunikasi dan pengucapan awam amat perlu dijadikan contoh oleh para menteri dan timbalan menteri.

Sambil mengakui hakikat Anwar memiliki kemahiran dan ketokohan semula jadi, barisan kabinetnya perlulah pula berusaha mempersiapkan diri untuk mengikut “gaya” Anwar; bukan hanya dalam soal memakai sut tanpa tali leher.

Memanglah segala kemahiran komunikasi, teknik pengucapan awam dan penampilan imej diri tidak boleh dimiliki secara mudah dan percuma.

Kalau tidak dipecahkah ruyung, manakan dapat sagunya?

Para politikus di blok kerajaan dan pembangkang amat wajar melabur wang dan tenaga membina think tank yang profesional, berwibawa dan mampu meningkatkan kredibiliti serta ketokohan ahli politik terbabit.

Semasa berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018, Anwar memetik ungkapan popular “I am Sivaji the Boss” daripada filem tahun 2007 lakonan Rajinikanth.

Walaupun mengakui kebenaran hakikat itu, sesungguhnya kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh berbangga dengan ketokohan Anwar seorang sahaja dalam Kerajaan Perpaduan yang mengemudi negara pada hari ini.

Sebaliknya, kita mahukan Anwar disertai satu barisan pemimpin berkaliber yang sedia mempersiapkan diri untuk menjadi sehebat bos mereka.

Uthaya Sankar SB seorang penulis dan pengkaji sepenuh masa yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.