Jangan lepas peluang buat saringan kesihatan percuma bernilai RM3,000

Bagi memastikan warganya kekal sihat, kerajaan Selangor meneruskan program saringan kesihatan percuma bermula semalam.

Exco Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata saringan kesihatan bernilai RM3,000 untuk warga Selangor itu bertujuan melakukan pencegahan melalui pengesanan awal penyakit.

Antara saringan yang ditawarkan ialah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang; kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara.

Saringan juga dibuat bagi penyakit berkaitan mata: rabun, glaukoma dan retina; pemeriksaan gigi dan telinga serta perkhidmatan fisioterapi.

“Warga Selangor yang ingin menjalani Saringan Kesihatan boleh mendaftar sekarang di aplikasi SELangkah.

“Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi Selangkah,” katanya dalam hantaran dikongsi di Facebook.

Pendaftaran bagi program saringan kesihatan adalah percuma dan bagi maklumat lanjut boleh boleh layari: https://selangorsaring.selangkah.my/

Semalam Dr Siti Mariah mengumumkan kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan program Selangor Saring tahun ini untuk melaksanakan pencegahan penyakit melalui saringan dan pengesanan awal.

Menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM 2.6 juta, bagi pelaksanaan Selangor Saring dengan sasaran seramai 31 ribu penerima manfaat di kesemua 56 DUN di negeri ini.

Program Selangor Saring yang dilaksanakan pada tahun lalu telah menerima lebih 20,000 pendaftaran dan berjaya mengenal pasti 49 peratus kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut.

Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperluaskan skop perkhidmatan kepada 3 kategori iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi selain saringan asas yang lain.

BACA JUGA: Program Saring Selangor diteruskan, manfaat 31 ribu penerima