Jangan main politik dalam isu keterjaminan makanan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menegaskan bahawa isu keterjaminan makanan tidak harus menjadi mainan politik termasuk mengurangkan kerenah birokrasi.

Ahli Parlimen Kota Raja tersebut menegaskan bahawa hal berkaitan jaminan sekuriti agro makanan negara merangkumi akses kepada makanan yang selamat dan berpatutan adalah melangkaui politik kepartian.

“Dalam hal ini, kurangkan birokrasi politik di negeri-negeri tanpa mengira kerajaan mana yang memerintah tempat tersebut.

“Pembukaan tanah untuk pertanian, akuakultur dan sebagainya dapat memberi faedah kepada orang yang mengusahakan dan juga rakyat.

“Saya yakin negeri yang tidak berada di bawah Kerajaan Perpaduan akan memberi kerjasama kerana ini adalah soal sejagat”, katanya dalam wawancara Naratif Khas di TV1 malam tadi.

Menurut Presiden Parti AMANAH tersebut, soal bekalan makanan tidak mengira sempadan, agama, kaum atau taraf hidup.

“Sebab itu kalau kita main politik, soal makanan ini boleh menjejaskan kemanusiaan itu sendiri,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menjadikan isu kekurangan makanan di Afrika sebagai contoh kerana ada rakyat yang maut disebabkan kebuluran, dan terdapat negara di dunia yang mempunyai lambakan makanan.

“Misalnya, apabila berlaku kematian akibat tak cukup makan di Afrika, sebenarnya dunia perlu rasa bersalah kerana berlaku lambakan makanan di negara lain.

“Bagi saya hal keterjaminan makanan ini melebihi pegangan politik. Yang penting kita semua bersama bertanggungjawab supaya ada makanan boleh diberikan kepada rakyat dan ianya cukup,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan isu keterjaminan makanan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini media melaporkan isu peruntukan menjadi masalah besar dalam mendepani krisis ekonomi dan krisis makanan yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Import makanan negara terus meningkat berikutan kelemahan mata wang negara, permintaan tinggi pengguna dan kenaikan harga barangan di negara bergolak.

Malaysia mengimport banyak produk makanan dengan sangat bergantung kepada import antaranya daging kambing, mangga, kelapa dan daging lembu untuk memenuhi permintaan domestik.

Baca juga Pemulihan ekonomi perlu pedulikan golongan M40