“Jangan masuk Dewan merengek-rengek beritahu dakwaan ‘hear say'”- Fadhlina sekolahkan Syed Saddiq

“Jangan masuk Dewan merengek-rengek beritahu dakwaan ‘hear say'”- Fadhlina sekolahkan Syed Saddiq

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegur ahli Dewan Rakyat agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bersandarkan ‘hear say’ atau dengar cakap di dalam Parlimen.

Beliau menegaskan bahawa kementeriannya tidak pernah sesekali menghentikan rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri di Malaysia, biarpun ada sedikit kelewatan.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, beliau tidak mahu ada Ahli Parlimen yang ‘merengek-rengek’ memberitahu bahawa mereka mendengar itu dan mendengar ini – sedangkan hakikatnya ia tidak benar.

“Saya menegaskan KPM tidak akan sekali-kali menghentikan tumpuan serta rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri di Malaysia. Ada kelewatan tetapi kita tidak pernah hentikan sebarang pembangunan.

“Jadi kalau nak jadi ahli yang berhormat, bertanggungjawab, masuk Dewan, kena pastikan fakta betul. Jangan masuk Dewan merengek-rengek bagitahu hear say, saya dengar itu saya dengr ini, tak betul,

“Ini adalah Dewan yang sangat penting. (KPM) akan memastikan semua projek yang kita laksanakan ada jaminan untuk disiapkan. Jadi tidak perlu menggunakan Dewan ini dengan merengek-rengek tentang hear say. Ini tidak boleh berlaku dalam Dewan yang mulia ini,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Ucapan Fadhlina itu dipercayai merujuk kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) yang sebelum ini mendakwa ada ura-ura bahawa terdapat usaha untuk menghentikan pembinaan dewan serba guna di empat sekolah di kawasannya berikutan keputusannya menarik diri daripada gabungan kerajaan.

“Saya dengar kerana saya memilih pihak pembangkang, walau perkara ini dah dilulus berbulan-bulan yang lepas, ada ura-ura bahawa mereka ingin menyekat dan memberhentikan pembinaan dewan baharu ini,” kata Syed Saddiq pada 14 September lalu.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) ketika meminta pencelahan, memuji jaminan kerajaan yang memberi komitmen untuk meneruskan pembinaan projek-projek pendidikan tidak kira latarbelakang parti Ahli Parlimen di kawasan tersebut.

Bagaimanapun beliau khuatir dengan hujah pembangkang terutama Muar yang sudah mula memainkan persepsi bahawa kerajaan ‘memilih bulu’ serta tidak menjaga kawasan pembangkang.

BACA JUGA Apa kita boleh belajar dari kembara Agong, Permaisuri?

COMMENTS

Wordpress (0)