Jangan terpengaruh usaha lagakan Najib dengan Anwar, pinta Umno

Umno memberikan ingatan agar penyokong Datuk Seri Najib Razak tidak terpengaruh dengan usaha untuk melagakan mereka dengan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes pengampunan yang akan ditetapkan 28 April iaitu Jumaat ini.

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam memberikan ingatan, usaha ini sedang dijalankan oleh penyokong dua musuh utama kedua-duanya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainudin.

“Mereka cuba nak jadi batu api. Saya bimbang mereka cuba rosakkan hubungan Najib dengan Anwar. Ini saya bimbang,” kata beliau.

Yang Dipertuan Agong dijadualkan akan membuat keputusan petisyen memohon agar Najib diberikan pengampunan Jumaat ini.

Lokman memberikan andaian sekiranya Najib tidak diberikan pengampunan Jumaat ini, penyokong Najib akan terpengaruh dengan kempen melagakan beliau dan Anwar

“Andaikata Tuanku Yang Dipertuan Agong tak bagi pengampunan dengan apa sahaja alasan, katalah tunggu habis semua kes Najib selesai, baru bagi pengampunan.

“Ini boleh sebabkan penyokong Najib akan termakan umpan yang dihidang oleh puak Mahathir dan Daim.

“Ini ada sedikit masalah,” kata beliau menerusi FB Live.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong setia Najib agar “jangan jadi bodoh dan lupa orang di belakang yang kenakan Najib adalah Mahathir dan Muhyiddin.”

Lokman mengaku, beliau sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada 28 April ini.

“Saya tak tahu keputusan Tuanku 28hb ini. Kalau Anwar, AG (Peguam Negara) atau lain-lain setuju bagi ampun, tetapi kalau Tuanku risau misalnya, takut rakyat tidak setuju, Tuanku boleh tangguhkan. Tuanku ada kuasa penuh dalam hal ini,” katanya.

13 dari 14 hakim yang mengadili kes Najib berkaitan dengan SRC mendapati beliau bersalah.

Ekoran itu, Najib membuat petisyen kepada Yang Dipertuan Agong untuk memberikan beliau pengampunan. Petisyen ini disokong oleh Umno.

Namun begitu, Najib masih lagi berdepan dengan beberapa pertuduhan lain yang sedang dibicarakan oleh mahkamah.

 

BACA JUGA Daim adakan pertemuan sulit dengan Hamzah, Takiyuddin dan Azmin?