Jawapan Menteri Pendidikan padu, Sany ucap syabas

Ahli Parlimen Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat – PH) mengucap syabas kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (Nibong Tebal – PH) di atas jawapan yang padu diberikan ke atas masalah sekolah belum siap dan sesak di kawasan Hulu Langat.

Sany mengutarakan masalah sekolah Taman Tasik Semenyih yang tidak siap pembinaannya dan Bandar Tasik Kesuma yang padat sehingga satu kelas menampung 48 murid.

Fadhlina menjawab bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan pembinaan Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih dan Sekolah Kebangsaan Taman Sutera Kajang dalam Rancangan Malaysia Ke 11.

“Status projek bagi SK Taman Pelangi di peringkat pembinaan manakala SK Taman Sutera pula peringkat pra bina,” katanya dalam sesi penggulungan ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat petang tadi.

Sehubungan itu, Sany dalam catatannya di Facebook mengucapkan syabas di atas tindakan yang pantas dan cekap KPM.

“Pada Sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Februari 2023. Saya diberi peluang untuk mencelah Menteri Pendidikan bagi menyuarakan dan membangkitkan soal berkaitan sekolah-sekolah yang masih belum siap serta isu kepadatan pelajar di dalam sesebuah kelas di beberapa sekolah yang berada sekitar kawasan Parlimen Hulu Langat.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada YB Fadhlina Binti Sidek kerana cakna dan prihatin terhadap isu yang dihadapi dalam sektor pendidikan khususnya di Hulu Langat ini,” katanya.

BACA JUGA Pejuang dalam PH? Kena bincang dengan BN juga