Jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN gubal undang-undang Islam bersidang 4 Disember

Jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN gubal undang-undang Islam bersidang 4 Disember

Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang Syariah, dijangka bersidang pada 4 Disember 2023.

Ia bagi menetapkan hala tuju pelaksanaan kajian dan penyelidikan, seterusnya mengesyorkan cadangan penyelesaian kepada masalah perundangan Islam di dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, senarai anggota Jawatankuasa khas tersebut telah selesai dimuktamadkan dengan pelantikan telah pun dibuat.

“Ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri, serta antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah demi memartabatkan serta memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jawatankuasa khas itu dianggotai bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi, bekas-bekas hakim, wakil-wakil daripada Jabatan Peguam Negara, wakil Kehakiman Syariah Malaysia, wakil dari Majlis Agama Islam Negeri, ahli-ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang sivil, syariah dan Perlembagaan Persekutuan, serta peguam-peguam syarie dan sivil yang berpengalaman luas.

Pada penghujung Ogos lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar satu jawatankuasa khas segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, ia berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi DUN di dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )