
Jentera parti perlu kerja lebih kuat mulai sekarang
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan jentera parti Kerajaan Perpaduan, agar bekerja lebih kuat mulai hari ini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Jelas beliau, bekerja lebih kuat itu adalah dengan turun ke lapangan untuk memberi pencerahan dan penerangan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang akan diadakan pada 9 September nanti.
“Saya berkeyakinan penuh kita dapat mempertahankan kemenangan di dua kerusi ini iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. Kekalkan kestabilan demi kemakmuran bersama.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan, jentera parti dan penyokong yang hadir mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kaiat pagi ini bagi proses penamaan calon PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Suhaizan yang juga merupakan bekas Speaker DUN Johor akan berdepan persaingan tiga penjuru dalam PRK Parlimen Pulai nanti.
Beliau akan bertempur dengan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.
Turut ke gelanggang pemilihan melibatkan 166,653 pengundi itu adalah, Samsuddin Mohd Fauzi yang bertanding atas tiket Bebas.
PRK parlimen itu diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu.