Jualan Ehsan Rakyat: Dapatkan barangan asas pada harga murah di sembilan DUN

Orang ramai berpeluang membeli barangan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding di pasaran dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor pada Khamis.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jualan tersebut akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari esok, 2 Februari.

Dalam infografik yang dikongsi di laman Facebook beliau, jualan jimat itu melibatkan produk makanan asas iaitu ayam pada harga RM10 seekor, ikan kembung (RM6 satu pek) dan daging pejal (RM10 satu pek/900 gram).

Turut dijual telur (RM10 sepapan), beras (RM10 sekampit 5 kilogram) dan minyak masak pada harga RM25 sebotol (5kg).

Berikut adalah lokasi JER terbabit:

  • Sabak (Balai Raya Parit 12 Timur)
  • Sungai Panjang (Dataran Tonggak 9, Sungai Besar)
  • Sungai Burong (Blok 1 Sawah Sempadan, Tanjung Karang)
  • Rawang (Kampung Kenagan, Rawang)
  • Sungai Tua (Kawasan lapang Gua Damai)
  • Hulu Kelang (AU3 Rumah Teres Parkir Hadapan Maroz)
  • Teratai (Food Court Teratai, Jalan Teratai 1/2, Taman Bukit Teratai)
  • Sungai Ramal (Kajang Mewah)
  • Sijangkang (Dewan Dato Hotmat, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat)

Sebelum ini, Exco Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata sejumlah RM12 juta peruntukan tambahan diluluskan bagi meneruskan program Jualan Ehsan Rakyat sehingga Mac tahun ini.

Beliau berkata program jualan barangan asas pada harga lebih murah itu yang sepatutnya berakhir pada Disember lalu diteruskan setelah menambah sambutan luar biasa daripada rakyat sekali gus mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Ramal, Mazwan Johar mengambil kesempatan mengedarkan 100 keping baucar diskaun kepada pengunjung program JER di tapak penjaja Sungai Tangkas, Kajang pagi tadi.

“Istimewanya sejak semalam dan hari ini, jualan jelajah kali ini telah disertai oleh sepasang suami isteri dari Persatuan Peduli Sejagat Sungai Ramal Luar dengan meyediakan “Air Balang Rahmah” kepada setiap pengunjung.

“Jualan kali ini juga disertai oleh sepasang suami isteri yang menjual rempah ratus dan kicap dengan serendah harga RM1 kepada pengunjung yang hadir,” katanya dalam Facebook.

Jualan Ehsan Rakyat yang diadakan di Kampung Laksamana, Batu Caves di DUN Sungai Tua pada 30 Januari 2023 mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat. Foto FB Wanita Dun Sungai Tua N16

 

Mazwan turut menikmati ‘air balang Rahmah’ yang disediakan oleh sepasang suami isteri dalam program Jualan Ehsan Rakyat di tapak penjaja Sungai Tangkas, Kajang pada 1 Februari 2023. Foto FB Mazwan Johar

 

BACA JUGA: Jelajah Ehsan Rakyat bantu ringankan beban peningkatan harga