Jualan Jelajah Ehsan jimat perbelanjaan bulanan – Suri rumah

Seorang suri rumah tidak pernah melepaskan peluang membeli barangan dapur setiap kali Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diadakan di sekitar rumahnya sejak diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor pada Februari 2022 yang lalu.

Siti Jamilah

Siti Jamilah, 58, mengakui mengikuti jadual terkini JER bagi membolehkan dirinya untuk berbelanja di program jualan murah berkenaan kerana dapat berjimat daripada segi perbelanjaan bulanan.

“Saya tidak pernah gagal untuk turut menyertai program ini sekiranya diadakan di kawasan berhampiran dengan rumah saya yang terletak di Hulu Kelang.

“Program ini sangat bagus untuk rakyat terutama kepada warga emas untuk mendapatkan beberapa barangan keperluan yang murah dan agak sukar untuk ditemui di pasaraya termasuk telur,” katanya kepada Harapan Daily.

Pandangan sama turut dikongsi Nazirah, 31, selain memuji inisiatif kerajaan Selangor itu yang dapat meringankan kos sara hidup rakyat dan berharap ianya dapat dilanjutkan lagi di masa hadapan.

Nazirah

“Sudah banyak kali saya sertai program ini yang telah diadakan di kawasan berhampiran rumah.

“Program yang dapat meringankan beban rakyat ini sangat bagus dan memberi manfaat. Saya harap program ini dapat dilanjutkan lagi,” katanya yang sudah mengunjungi enam Jelajah Ehsan Rakyat sekitar Hulu Kelang.

Sementara itu, seorang pemuda Shahrizan, 27, berkata program ini menawarkan barangan berkualiti dan segar pada harga murah untuk dinikmati.

“Program ini sangat baik dengan pelbagai jenis barangan telah dijual dengan harga murah yang dapat memampukan mereka yang tidak mampu.

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu orang awam seperti saya untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya.

Shahrizan

Jualan Ehsan Rakyat yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Rakyat (DUN) Hulu Kelang hari ini mendapat sambutan amat memberangsangkan apabila terdapat pengunjung yang sudah tiba seawal jam 8 pagi, beratur sebelum dibuka untuk jualan pada jam 10 pagi.

Antara barangan yang dijual adalah ayam kira-kira 1.5 kilogram (kg) seekor dijual dengan harga RM10, daging (RM10/kg), ikan kembung (RM6/kg), telur (RM10/papan), beras 5kg (RM10/kampit) dan minyak masak 5kg (RM25/botol).

BACA JUGA DUN Kedah dijangka bubar selepas 18 Jun