Jualan Rahmah bantu peniaga dapatkan bekalan mentah lebih murah

Persatuan dan pengusaha makanan menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2023.

Penasihat Persatuan Pemilik Restoran Tom Yam Malaysia (Pertom), Che Mamad Che Mod (atas) berkata, pelaksanaan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif yang lain turut membantu golongan pengusaha makanan.

“Peruntukan Jualan Rahmah yang sebanyak RM100 juta membantu golongan peniaga untuk mendapatkan bekalan mentah yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Ia secara tidak langsung menggalakkan dan memudahkan mereka (golongan peniaga) untuk menyediakan Menu Rahmah di premis masing-masing,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai manfaat Belanjawan 2023 yang diperoleh golongan peniaga dan pengusaha makanan.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Che Mamad Che Mod (tiga kiri) bersama Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika perasmian Menu Rahmah di Medan Selera Lembah Keramat.

Mengulas lanjut, Che Mamad juga menyokong langkah segera yang diambil kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan import membabitkan bekalan makanan mentah.

“Kerajaan lebih fokus kepada pembekalan makanan domestik kerana tidak bergantung kepada permintaan import.

“Ini membantu kami (pengusaha makanan) untuk mendapatkan bekalan makanan mentah yang mencukupi dan harga barang juga boleh dikawal,” ujarnya lagi.

Melalui belanjawan tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada industri pertanian dan perikanan bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus dapat menjamin bekalan makanan negara.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah